Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Hun Manet PM baharu Kemboja

0

PHNOM PENH: Hun Manet dilantik sebagai perdana menteri baharu Kemboja oleh Raja Norodom Sihamoni selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada bapanya yang sudah memerintah selama hampir empat dekad.

Beberapa hari selepas kemenangan besar dalam pilihan raya bulan lalu, Hun Sen yang merupakan seorang daripada pemimpin paling lama berkhidmat di dunia mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri dan menyerahkan kuasa kepada anak sulungnya.

Pilihan raya itu dikecam secara meluas selepas pembangkang, Parti Candlelight dihalang daripada bertanding akibat isu teknikal, dengan Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang memerintah memenangi majoriti kecuali lima kerusi dalam dewan rakyat yang terdiri daripada 125 anggota.

Berikutan permintaan daripada Hun Sen, Raja Norodom Sihamoni mengeluarkan dekri diraja untuk melantik Hun Manet sebagai Perdana Menteri Kerajaan Kemboja bagi mandat ke-7 Parlimen.

Bagaimanapun, untuk menjadi pemimpin baharu negara secara rasmi, pemimpin berusia 45 tahun itu dan kabinet baharunya perlu memenangi undi percaya di Parlimen yang dijadualkan pada 22 Ogos ini.

Hun Sen memegang kuasa sebagai perdana Menteri pada tahun 1985 dan membantu memodenkan Kemboja yang musnah akibat perang saudara dan pembunuhan beramai-ramai walaupun pengkritik mendakwa pemerintahannya turut menyebabkan kemusnahan alam sekitar, rasuah berakar umbi, dan penghapusan hampir semua saingan politik.

Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Kesatuan Eropah (EU)mengutuk pilihan raya bulan lalu sebagai tidak bebas dan tidak adil.

Hun Sen menolak dakwaan itu dan berkata, penyerahan kuasa kepada anak sulungnya dilakukan untuk mengekalkan keamanan dan mengelakkan pertumpahan darah sekiranya beliau meninggal dunia dalam jawatan.

Hun Sen turut memberi amaran sekiranya nyawa Hun Manet terancam dengan serius, beliau akan kembali menjadi Perdana Menteri.

Selepas meletak jawatan, Hun Sen akan menjadi Presiden Dewan Negara awal tahun depan dan pemangku ketua negara apabila Raja Norodom Sihamoni berada di luar negara.

Terdapat sedikit jangkaan Hun Manet akan melakar laluan yang lebih liberal daripada bapanya, walaupun mendapat pendidikan di England dan AS.

 

 

 314 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.