Oleh DG HENRY
BERMACAM-macam ragam dan gelagat kaum ibu dapat disaksikan apabila beraksi di padang dalam Karnival bola sepak ibu-ibu pelatih TABS SAFA Bandaraya di padang TABS SUKMA, pada Ahad.
Aksi mereka bertambah menghiburkan penonton apabila ada di antara ibu-ibu mempamerkan kelincahan mengelicik bola dan tidak kurang juga yang cuba menyepak tetapi tidak mengenai bola menyebabkan lawan mereka mengambil peluang untuk merebut bola dan terus menyumbat masuk ke gawang gol.
Itulah antara babak-babak menarik yang menyebabkan penonton tidak kering gusi menyaksikan karnival yang kali pertama dianjurkan oleh unit kejurulatihan TABS bagi mengeratkan persefahaman, kerjasama dan hubungan siratulrahim antara pengurusan TABS dan ibu bapa pelatih.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim melakukan sepak mula sebagai tanda pelancaran karnival berkenaan.
Ketika ditemui kemudian, Lokman melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada golongan ibu yang menyertai karnival tersebut yang membuktikan kerjasama dan sokongan mereka terhadap program pembangunan bola sepak yang dijalankan TABS.
Katanya, program pmbangunan bola sepak TABS ternyata mendapat sambutan daripada kalangan ibu bapa pelatih dan ini membantu program tersebut berjalan dengan baik dan mencapai kejayaan.
“Kita tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada penganjurnya unit kejurulatihan TABS yang diketuai jurulatih Matasan Ahmad dan penolongnya Roslan Wasli serta semua penyumbang hadiah kemenangan dan hamper cabutan tiket bertuah,” katanya.
Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tempatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menambah, karnival bola sepak untuk bapa-bapa pelatih pula akan diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, sambutan menggalakkan daripada kaum ibu itu mendorongkan TABS untuk menganjurkan karnival untuk bapa-bapa juga selepas ini.
Beliau percaya program seumpama itu mampu menjalinkan hubungan mesra dan meningkatkan lagi kerjasama di antara pengurusan TABS dengan ibu bapa pelatih.
Pasukan Dsaster FC muncul sebagai juara karnival itu, naib juara dimenangi Giler FC dan Radu FC pula menduduki tempat ketiga. Manakala Tornados FC di tempat keempat.
Beliau kemudian menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang.
Turut hadir ialah Setiausaha SAFA Bandaraya, Juraidah Datuk Abdul Rahim, naib pengerusi TABS, S.A Ramlye dan ahli jawatankuasa TABS, Moksin Dusin.