DUA beradik bakal berdepan hukuman gantung selepas ditahan polis akibat disyaki mengedar dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru-baru di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun dan kakaknya yang berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 1.50 petang di Tuaran pada Jumaat.
Katanya, serbuan dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.
“Kedua-dua suspek ditahan dengan bekalan dadah syabu atau Methaphetamin seberat 323.63 gram bernilai anggaran RM33,360 mengikut harga semasa yang dipercayai untuk diedar atau dijual kepada pelanggan di kampung terbabit”.
“Suspek juga diarahkan menjalani ujian air kencing dan didapati negatif selain semakan rekod juga mendapati kedua-dua suspek tidaa rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dihubungi hari ini.
Menurut Mohd Hamizi, pihak polis juga mendapati kedua-dua beradik terbabit tidak bekerja.
“Siasatan akan diteruskan bagi mengekang kegiatan dadah di daerah ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati,” katanya.
Mohd Hamizi berkata, polis mengucapkan syabas kepada orang awam dan berharap agar terus menyalurkan maklumat untuk membanteras kegiatan dadah. – Oleh: ABANG JOE