Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Duterte mengaku ‘bertanggungjawab’ ketika ICC menahannya

0

ROTTERDAM: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mengaku bertanggungjawab atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan ketika dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Terdahulu, ICC yang berpangkalan di The Hague itu percaya terdapat asas munasabah untuk mendakwa Duterte atas pembunuhan dalam kempen anti-dadah yang didakwa meragut puluhan ribu nyawa.

“Saya adalah orang yang mengetuai penguatkuasaan undang-undang dan tentera kita.

“Saya sudah memberitahu akan melindungi anda dan saya akan bertanggungjawab atas semua ini,” katanya kepada rakyat Filipina dalam satu video yang dikongsikan di laman Facebooknya.

Duterte, 79, adalah bekas ketua negara Asia pertama yang berdepan pertuduhan di ICC.

Seorang jurucakap mengesahkan bahawa Duterte kini dalam tahanan mahkamah selepas tiba di Rotterdam menggunakan jet peribadi.

Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa Duterte dilihat memasuki pusat tahanan ICC di The Hague, melepasi kumpulan penyokong yang bersorak “Bawa dia pulang” sambil mengibarkan bendera kebangsaan.

Pusat tahanan ICC, yang terletak berhampiran pantai Laut Utara, menyediakan sel individu yang lengkap dengan komputer selain kawasan riadah di luar.

Duterte akan ditahan di situ sehingga dibawa ke mahkamah.

Peguam hak asasi, Gilbert Andres, yang mewakili mangsa perang dadah, berkata, anak guamnya sangat bersyukur kepada kerana doa mereka sudah dimakbulkan.

“Penahanan Rodrigo Duterte adalah satu isyarat besar untuk keadilan jenayah antarabangsa. Ini bermakna tiada siapa yang berada di atas undang-undang,” tambahnya.

Sebelum keberangkatan bapanya, Naib Presiden Filipina, Sara Duterte memberitahu bahawa Duterte dibawa secara paksa ke The Hague selain menyifatkan pemindahan itu sebagai penindasan dan penganiayaan.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, menyifatkan penahanan itu sebagai langkah penting dalam usaha menuntut kebertanggungjawaban bagi ribuan mangsa pembunuhan.

China bagaimanapun memberi amaran kepada ICC supaya tidak mempolitikkan dan bertindak berat sebelah dalam kes Duterte, selain memberitahu mereka memantau perkembangan itu dengan teliti.

Pada 2019, Filipina menarik diri daripada ICC atas arahan Duterte.

Bagaimanapun, tribunal itu tetap mengekalkan bidang kuasanya ke atas pembunuhan yang berlaku sebelum itu, termasuk kes di bandar selatan Davao ketika Duterte menjadi Datuk Bandar.

Dalam waran tangkapnya, ICC menyatakan terdapat asas munasabah untuk mempercayai sekurang-kurangnya 19 individu dibunuh di Davao oleh anggota “Skuad Kematian Davao” yang diketuai Duterte.

Selain itu, sekurang-kurangnya 24 individu lagi dipercayai dibunuh oleh polis Filipina di beberapa lokasi lain.

Duterte masih mendapat sokongan kuat daripada ramai rakyat Filipina yang menyokong pendekatannya yang tegas terhadap jenayah, sekali gus menjadikannya satu kuasa politik yang berpengaruh. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.