Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sara Duterte berlepas ke Belanda selepas penahanan bapanya

0

MANILA: Anak perempuan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, Sara Duterte berlepas ke Belanda hari ini, selepas penahanan bapanya atas permintaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap ‘perang ke atas dadah’ yang dilancarkannya.

Rodrigo Duterte, bekas Datuk Bandar dan bekas pendakwa raya yang mengetuai Filipina dari 2016 hingga 2022, diterbangkan ke The Hague semalam, beberapa jam selepas penahanannya di Manila, menandakan langkah terbesar dalam siasatan ICC terhadap dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan semasa tindakan keras anti-dadah yang membunuh beribu-ribu orang dan mengundang kecaman di seluruh dunia.

Duterte, 79, mungkin menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang dibicarakan di ICC. Sara yang juga Naib Presiden Filipina, menaiki penerbangan pagi ke Amsterdam, tetapi tidak dinyatakan tujuan beliau di sana atau berapa lama untuk berada di Belanda.

Silvestre Bello, bekas Menteri Buruh dan seorang peguam bekas Presiden, berkata satu pasukan undang-undang akan bermesyuarat untuk menilai pilihan dan mencari penjelasan mengenai tempat Duterte akan dibawa dan sama ada mereka akan diberi akses kepadanya.

“Perkara pertama yang kami akan lakukan ialah mengetahui ke mana sebenarnya bekas Presiden itu akan dibawa supaya tahu ke mana kami harus pergi, kerana dia memerlukan bantuan undang-undang.

“Kami juga akan membincangkan semua kemungkinan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, bekas ketua penasihat undang-undangnya, Salvador Panelo, berkata anak bongsunya, Veronica Duterte, merancang memfailkan permintaan habeas corpus dengan Mahkamah Agung Filipina untuk memaksa kerajaan membawanya pulang.

Perang ke atas dadah adalah platform kempen utama yang membawa Duterte ke tampuk kuasa pada 2016.

Sepanjang enam tahun pemerintahannya, seramai 6,200 suspek dibunuh dalam operasi anti-dadah, menurut angka polis.

Namun, aktivis berkata, jumlah sebenar jauh lebih tinggi, dengan ribuan lagi pengguna dadah dari kawasan setinggan yang ditembak mati dalam keadaan misteri, sebahagiannya berada dalam senarai pemantauan komuniti selepas mereka mendaftar untuk mendapatkan rawatan.

Walaupun Duterte secara sepihak menarik balik Filipina daripada perjanjian penubuhan ICC pada 2019 ketika ia mula meneliti perang dadah, mahkamah mengatakan ia mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dakwaan jenayah yang berlaku semasa sebuah negara menjadi anggota.

Timbalan Pengarah Asia di Human Rights Watch, Bryony Lau, berkata penangkapan dan pemindahan Duterte ke The Hague adalah kemenangan yang sudah lama tertangguh menentang impuniti yang boleh membawa mangsa dan keluarga selangkah lebih dekat kepada keadilan.

“Peristiwa penting ini menghantar mesej kepada penderaan hak asasi manusia di mana-mana bahawa suatu hari nanti mereka akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.