Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon luluskan RM200,000 naiktaraf Tamu Desa Kg.Melangkap Tiong Kota Belud

0
Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick bersalaman dengan salah seorang peniaga di Tamu Desa Kg. Melangkap Tiong Kota Belud

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menaiktaraf Tamu komuniti kepada Tamu Desa di Kampung Melangkap Tiong.

Menterinya Datuk Ewon berkata, Tamu Komuniti kampung itu yang telah dibina sejak sekian lama dan beroperasi sehingga kini perlu dinaiktaraf untuk keselesaan para usahawan kecil-kecilan di tamu berkenaan.

“Ini adalah antara inisiatif baharu yang saya perkenalkan di kementerian saya untuk membantu para usahawan dan peniaga tamu khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun ini, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pembangunan Projek Tamu Desa di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak iaitu menaiktaraf tamu komuniti sedia ada atau membina kemudahan tamu desa yang lebih baik.

“Antara yang akan mendapat manfaat, ialah Tamu Komuniti Kg.Melangkap Tiong yang mana tamu ini telah dimulakan sejak sekian lama sehingga kini dan saya berpendapat ada keperluan menaiktaraf dan membina kemudahan tamu yang lebih selesa untuk usahawan-usahawan tamu di mukim ini.

“Sebab itu kita telah luluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk  menaiktaraf kemudahan tamu desa kg Melangkap Tiong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penggalakan Koperasi Peringkat Komuniti Zon sempena Sambutan Pesta Kaamatan Kg.Melangkap Tiong, di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah Matias Kundapin, Pengerusi Pengajur Anichlose Kasimin, wakil-wakil agensi kementerian dan para penduduk kampung.

Ewon berkata, secara keseluruhannya peruntukan awal untuk pelaksanaan Projek Tamu Desa di Sabah akan diserahkan kepada kerajaan Sabah semasa perasmian Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) sempena Sambutan Pesta Kaamatan, 11 Mei, di Kuala Penyu.

“Selepas itu kita juga akan sampaikan peruntukan awal ini kepada kerajaan Sarawak untuk pelaksanaan Projek Tamu Desa tahun ini.

“Saya berharap inisiatif baharu seperti Tamu Desa, Program Rangsangan Koperasi Pelancongan dan inisiatif-inisiatif baharu yang lain yang dilaksanakan oleh KUSKOP akan melonjakkan lagi gerakan koperasi dan keusahawanan di Sabah,” katanya.

Ewon berkata, pada tahun lepas beliau juga telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) di bawah agensi Tekun.

“Saya berharap Projek Tamu Desa ini akan melengkapkan lagi program sedia ada yang kita laksanakan atau perkenalkan,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) sebagai antara usaha membantu masyarakat kampung menikmati barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran iaitu potongan harga sehingga 20 peratus.

Potongan harga ini merupakan subsidi yang disediakan kerajaan dan kementerian.

Turut disampaikan Bakul Makanan kepada 20 penerima yang terdiri daripada B40 yang telah dikenalpasti.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.