PENAMPANG, 6 Ogos 2025 – Langit pembangunan luar bandar di Penampang semakin cerah apabila empat premis Tamu Desa baharu dan dinaik taraf dengan kos keseluruhan RM790,550 berjaya disiapkan hasil inisiatif proaktif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah teraju Datuk Ewon Benedick.
Projek yang meliputi pembinaan baharu Tamu Desa di Kg. Inobong, Kg. Babagon, Kg. Togudon serta penaiktarafan Tamu Desa Kg. Mahandoi bukan sahaja mengubah landskap fizikal desa, bahkan menyuntik semangat baharu dalam kalangan usahawan tani dan komuniti luar bandar.
“Ini bukan sekadar binaan batu dan simen. Ini adalah mercu tanda kebangkitan ekonomi desa dan penghormatan kepada keringat usahawan kecil,” tegas Ewon semasa merasmikan Bangunan Baharu Tamu Desa Kg. Togudon, hari ini.
Dengan bangunan baharu yang lebih tersusun, selesa dan terlindung daripada cuaca, Ewon percaya para peniaga kini dapat berniaga dalam suasana yang lebih kondusif, manakala pengunjung pula menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih selamat dan menyenangkan.
Lebih menarik, Tamu Desa ini bukan hanya akan beroperasi pada hari Sabtu seperti kebiasaan, malah Ewon turut mendorong aktiviti jualan harian agar desa tidak lagi sunyi enam hari seminggu, sebaliknya menjadi pusat ekonomi harian yang rancak.
“Saya seru semua usahawan tani untuk berniaga setiap hari. Kita mahu tamu ini hidup – pagi hingga petang, Isnin hingga Ahad. Di sinilah ekonomi baharu kampung boleh mekar,” katanya penuh semangat.
Dalam majlis yang sama, Ewon turut menyerahkan sijil pendaftaran kepada Koperasi Desa Togudon Berhad, satu langkah penting dalam usaha memperkukuh ekonomi desa secara kolektif dan berdaya tahan.
“Kita tidak mahu kampung ini sekadar jadi lokasi jual beli. Kita mahu ia menjadi ekosistem – koperasi sebagai pemacu, tamu sebagai nadi, dan usahawan desa sebagai tulang belakang,” jelas Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang.
Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha besar-besaran KUSKOP di seluruh Sabah dan Sarawak. Sehingga tahun lalu, sebanyak 98 premis Tamu Desa telah dibina, dan menurut Ewon, lebih banyak akan menyusul sebagai bukti komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan luar bandar secara inklusif.
Tamu Desa bukan sekadar tempat jual beli hasil tani. Ia adalah simbol budaya, nadi ekonomi desa dan tempat pertemuan komuniti. Dengan kemudahan yang kini lebih moden, tersusun dan mesra usahawan, KUSKOP memberi isyarat jelas bahawa desa bukan untuk ditinggalkan, tetapi untuk dimajukan.
![]()