KOTA BELUD, SABAH 17 Julai 2025 — Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini merasmikan tiga Tamu Desa baharu masing-masing di Kampung Takulung, Kampung Lasau, dan Kampung Rosok dalam usaha memperkukuh keusahawanan luar bandar serta meningkatkan kemudahan rakyat di daerah ini.
Ketiga-tiga kemudahan tersebut merupakan sebahagian daripada 22 tapak Tamu Desa yang dibina dan dinaik taraf di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 di Kota Belud, melibatkan peruntukan RM4.749 juta tahun ini.
“Melalui Belanjawan 2024, sebanyak 98 Tamu Desa di Sabah dan Sarawak telah siap dibina atau dinaik taraf dengan kos keseluruhan RM19 juta,” kata Ewon kepada media selepas majlis perasmian di Kampung Rosok.
Beliau turut mengumumkan tambahan RM10 juta untuk membangunkan 46 lagi tapak baharu Tamu Desa di Sabah tahun ini, sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan fasa terdahulu.
Ruang Niaga Mesra Usahawan, Serbaguna untuk Komuniti
Menggunakan konsep dewan terbuka, Tamu Desa bukan sekadar menyediakan ruang niaga yang selesa dan teratur kepada peniaga tempatan, malah berfungsi sebagai pusat komuniti bagi penganjuran pelbagai aktiviti seperti program sukan, majlis keramaian, taklimat serta perjumpaan rakyat.
- Tamu Takulung beroperasi setiap Selasa
- Tamu Lasau setiap Rabu
- Tamu Rosok setiap Khamis
“Ini bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi pelaburan terhadap daya tahan ekonomi dan kesejahteraan komuniti luar bandar,” tegas Ewon.
Program Jualan MADANI Koperasi Ringankan Beban Rakyat
Dalam lawatan ke Kampung Lasau Minunsud, Ewon turut melancarkan program Happy Hour Jualan MADANI Koperasi, yang menawarkan diskaun sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih — sebahagian daripada usaha kementerian membantu rakyat menangani kos sara hidup dan merancakkan aktiviti koperasi.
Pemimpin Turun Padang: Sokong Peniaga, Dekati Rakyat
Ewon turut meluangkan masa meninjau operasi jualan dan menyantuni peniaga kecil di ketiga-tiga Tamu Desa, selain membeli produk tempatan sebagai tanda sokongan terhadap usahawan desa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan, wakil agensi-agensi di bawah kementerian serta pemimpin masyarakat setempat.
![]()