Oleh Rosanna Edeza
PENSIANGAN (Sabah. Malaysia) 5 Sept 2025 – Rakyat Pensiangan tampil dengan suara lantang, sebulat suara dan tanpa kompromi menuntut agar Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17). Tuntutan politik ini lahir daripada aspirasi akar umbi pedalaman – melibatkan tiga kawasan DUN iaitu Sook, Nabawan dan Tulid – yang mahu identiti lokal ditegaskan, sekali gus mengangkat semula maruah politik Sabah di pentas negeri.
Ketua Penerangan UPKO Bahagian Pensiangan, Mohd Khairy Abdullah @ Henry, berkata pendirian menggunakan lambang sendiri bukan sekadar isu teknikal pilihan raya, tetapi selari dengan aspirasi rakyat yang mahu melihat UPKO – salah satu parti tertua yang lahir seusia dengan pembentukan Malaysia – tampil dengan identiti asalnya.
“Tuntutan ini juga dianggap hadiah bermakna kepada rakyat Sabah bersempena sambutan Hari Sabah dan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-62. Rakyat Sabah, khususnya pengundi KDMR, jelas mahukan UPKO bertanding dengan lambang sendiri. Inilah masa paling tepat untuk menegaskan jati diri politik tempatan,” katanya.
Parti pimpinan Presiden Datuk Ewon Benedick turut menerima dukungan kukuh daripada bahagian-bahagian UPKO di seluruh negeri, yang sebulat suara bersetuju bahawa inilah saat terbaik parti kembali mengangkat simbol perjuangan sendiri.
Menurut Khairy, langkah ini signifikan kerana ia memastikan UPKO terus dilihat sebagai peneraju politik lokal dalam gabungan PH, sekali gus memperkukuh kedudukan PH di Sabah menjelang PRN-17.
Khairy menegaskan rakyat pedalaman kini tidak lagi mahu parti lokal berlindung di sebalik lambang luar. Sebaliknya, mereka mahu simbol yang lahir dari tanah Sabah – simbol yang dianggap sebagai lambang kepercayaan dan kesinambungan perjuangan politik negeri.
Katanya, pendekatan ini bukan penolakan terhadap PH, tetapi strategi memperkukuh sokongan akar umbi dengan menampilkan wajah politik lokal yang lebih diyakini.
Beliau turut menekankan bahawa tuntutan Pensiangan ini tidak bermaksud UPKO mengasingkan diri daripada Pakatan Harapan (PH). Sebaliknya, ia adalah strategi berkesan untuk menangkis slogan “Undi Parti Lokal” dan “Sabah for Sabahan” yang semakin berakar dalam budaya politik Sabah.
Pemerhati politik melihat langkah menggunakan lambang sendiri sebagai peluang penting untuk memperkukuh keyakinan pengundi KDMR, menarik generasi muda yang semakin kritikal terhadap identiti politik tempatan, serta menutup ruang lawan daripada mengeksploitasi isu kebersandaran kepada simbol luar.
Dengan majoriti pengundi KDMR di Sook, dominasi etnik pribumi di Nabawan, serta sentimen lokal yang menebal di Tulid, ketiga-tiga kerusi ini berpotensi menjadi pemangkin kepada kebangkitan besar UPKO sekiranya tampil dengan lambang sendiri.
Menurut Khairy, jika cadangan ini dimanfaatkan sepenuhnya, PRN-17 bakal menjadi titik balik yang mengangkat UPKO sebagai parti lokal dan peneraju politik utama dalam gabungan PH. Langkah ini signifikan kerana ia memastikan UPKO terus diiktiraf sebagai peneraju politik lokal dalam gabungan PH, sekali gus memperkukuh kedudukan PH di Sabah untuk menghadapi PRN-17.
![]()