Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Golongan berbkat inovasi dicabar

Sertai cabaran selesai isu sosial dan alam sekitar Sabah

0

GOLONGAN berbakat dalam bidang inovasi termasuk usahawan sosial dan pemilik syarikat pemula di Sabah dipelawa menyertai cabaran untuk menyelesaikan isu sosial dan alam sekitar di negeri ini.

Pengurus Besar Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCEIC), Viviantie Sarjuni, berkata penyertaan kini dibuka untuk menguji bakat masing-masing menerusi Pemecut Cabaran Impak Sosial (SICA).

Katanya, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang menganjurkan cabaran itu mempelawa golongan berbakat untuk membantu mencari penyelesaian terhadap empat isu penting yang dihadapi negara, termasuk di Sabah ketika ini.

“SICA adalah cabaran penyelesaian masalah berimpak komersial membabitkan empat isu atau cabaran utama iaitu ke arah Memantapkan Perkhidmatan Untuk Warga Tua Malaysia, Mengitar Semula Sisa Sungai Kepada Kekayaan, Pendidikan Masa Depan dan Inovasi Untuk Kanak-Kanak.

“Rakyat Sabah wajar mengambil bahagian dalam inisiatif itu untuk sama-sama berusaha membawa perubahan dalam isu yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan mengenai SICA yang dibuka untuk penyertaan bermula bulan lalu hingga 21 Julai depan, di sini.

Penganjuran program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Khazanah Nasional, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Selangor Maritime Gateway dan Citrine Capital.

Peserta SICA berpeluang mendapatkan akses padanan sokongan termasuk dana, rangkaian dan bimbingan, jaringan dengan pakar industri serta peluang untuk meneroka perolehan kerajaan melalui Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan (PPISK).

Viviantie yang juga pengasas kumpulan komuniti Borneo Startups Community (BosCo), berkata empat isu atau cabaran yang disediakan SICA pada kali ini bukan saja penting di Sabah, malah di seluruh negara.

Beliau memberi contoh, Sabah kini berdepan masalah populasi warga tua iaitu golongan berumur 65 tahun ke atas yang semakin meningkat dengan peningkatan pada tahun lalu saja mencatat dua peratus.

“Ini bermakna ada keperluan untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk warga tua. Ia merujuk kepada keperluan untuk warga tua terus menjalani kehidupan dalam komuniti dengan tahap kebebasan masing-masing berbanding tinggal di rumah penjagaan warga tua.

“Kita juga memiliki kira-kira 50 batang sungai di Sabah dan Sarawak serta 100 di Semenanjung dengan cabaran utama dihadapi ialah pencemaran sungai,” katanya.

Bagi pendidikan dan inovasi, Viviantie berkata penyelesaian ke arah menyediakan kualiti yang tepat kepada kedua-duanya sangat mustahak dalam menyediakan generasi muda Sabah dengan pengetahuan dan kemahiran selain mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat kepada kanak-kanak.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Amiruddin Abdul Shukor, berkata SICA adalah platform yang menggabungkan pereka cipta berpotensi tinggi bagi mempercepat pembangunan model impak masing-masing ke arah pasaran yang lebih besar.

“Kita berharap dapat menghubungkan inovasi penyelesaian baharu kepada rakan kongsi dalam menangani pernyataan masalah dan pada masa yang sama meningkatkan pasaran bagi produk serta perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai SICA boleh diperolehi melalui laman sesawang www.mymagic.my/sica. – Oleh ABANG JOE

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.