Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Guru ponteng kerja 20 tahun akhirnya dipecat

0

ROM: Seorang guru sekolah menengah di Itali yang dipecat selepas didapati gagal hadir mengajar pelajarnya selama 20 tahun, kini berjanji untuk mempertahankan dirinya.

Cinzia Paolina De Lio yang mengajar subjek sejarah dan falsafah menjadi terkenal selepas `ponteng kerja’ selama 20 tahun daripada keseluruhan 24 tahun perkhidmatannya sebagai pendidik di beberapa sekolah di sekitar Venice.

Lapor Oddity Central, De Lio sebelum ini dipecat pada tahun 2007 selepas siasatan mendapati wanita itu sering `tidak bersedia’ dan `lalai’ ketika berada di dalam kelas.

Bagaimanapun, De Lio membuat rayuan terhadap keputusan itu dan berjaya mendapatkan semula pekerjaannya pada tahun berikutnya.

Wanita itu dikatakan terus mengemukakan pelbagai alasan untuk mengabaikan tugas hakiki sebagai guru sehingga Mahkamah Agung Kasasi Itali memutuskan untuk mengekalkan keputusan awal penamatan kontraknya.

Keputusan itu mengambil kira tempoh ketidakhadiran De Lio ke sekolah setelah sudah lebih dua dekad menceburi kerjaya berkenaan.

Kementerian Pendidikan Itali mendakwa De Lio tidak hadir ke kelas sepenuhnya semasa tempoh 10 tahun pertamanya bertugas sebagai guru.

“Malah, pihak kementerian juga menjelaskan ketidakhadiran De Lio secara berterusan dalam tempoh 14 tahun dengan pelbagai dokumen dikemukakan termasuk cuti bersalin, cuti menyusu bayi dan surat meminta kebenaran untuk menjaga ahli keluarga kurang upaya,” jelasnya.

Dilaporkan, wanita itu juga menggunakan gabungan cuti sakit, cuti tahunan dan pengecualian lain seperti kebenaran menghadiri persidangan untuk mengelak daripada hadir ke kelas.

Secara keseluruhannya, De Lio didapati memfailkan lebih 100 permohonan untuk tidak hadir ke sekolah.

Sementara itu, De Lio ketika dihubungi La Republica berjanji untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Bagaimanapun, dia mendakwa memiliki dokumen yang mengesahkan dia hadir ke sekolah selama tempoh dua dekad itu.

 

 215 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.