Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry

SANDAKAN (Sabah, Malaysia), 15 Sept – Ketua Penerangan UPKO Malaysia, Dr. Peter Jr Naintin, menegaskan bahawa tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih negeri merupakan hak perlembagaan yang tidak boleh ditangguhkan atau dipertikaikan.
“Isu 40% ini adalah hak mutlak rakyat Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan hadiah, bukan ihsan. Menangguhkan atau menafikan hak ini bermakna menafikan asas pembentukan Malaysia itu sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau mengingatkan bahawa geran khas yang kini diberikan kepada Sabah hanyalah pengaturan sementara, sementara proses menuntut kembali hak 40% hasil bersih negeri masih diteruskan. Sebagai langkah interim, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan pembayaran khas kepada Kerajaan Negeri Sabah sehingga formula baharu dimuktamadkan.
Kenyataan Dr. Peter ini menghidupkan semula perdebatan berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya selepas pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 14 Disember 2021 yang mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Malaysia. Namun, beliau menegaskan bahawa tanpa penyelesaian isu kewangan, pindaan itu tidak lebih daripada simbolik.
Isu ini kembali menjadi tumpuan apabila pada 3 Jun 2022, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Sabah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi bagi menuntut kerajaan pusat menunaikan obligasi kewangan di bawah Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Kritikan ini timbul susulan kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, yang mendakwa formula 40 peratus tidak lagi terpakai dan digantikan dengan perjanjian baharu. Kenyataan itu mencetuskan reaksi keras pemimpin Sabah, termasuk UPKO, kerana ia dilihat sebagai cubaan menafikan hak perlembagaan rakyat negeri ini,” jelas Dr. Peter.
Sejak pertukaran kerajaan pada Disember 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kuching pada Januari 2023. Mesyuarat itu turut memperkenalkan mekanisme baharu, termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Penyelaras MA63.
“Sehingga kini, sebanyak 13 isu telah berjaya diselesaikan, termasuk kuasa kawal selia gas, elektrik, dan pentadbiran kehakiman di Sabah serta Sarawak. Namun, 13 isu lain masih dalam rundingan, antaranya royalti minyak, hak ke atas pelantar benua, serta obligasi kewangan Persekutuan,” tambah beliau.
Dr. Peter turut menekankan bahawa banyak perkara berkaitan MA63 sedang ditangani melalui mesyuarat dan rundingan berperingkat tinggi antara kepimpinan Persekutuan dan Negeri. “Ini bukti bahawa pendekatan politik dan diplomasi lebih berkesan, tanpa perlu mengheret isu ini ke mahkamah,” katanya.
Hubungan erat Persekutuan–Negeri, jelas beliau, kekal penting dalam memacu pembangunan sosioekonomi Sabah. Menurutnya, Kerajaan Perpaduan mencerminkan usaha kolaboratif pelbagai parti politik di Malaysia, dengan kejayaannya bergantung kepada kerjasama, kepercayaan dan penglibatan strategik di semua peringkat.
Kerajaan Persekutuan juga telah menaikkan geran khas Sabah daripada RM126 juta pada 2021 kepada RM300 juta bagi tempoh 2023–2024, dengan pengumuman terbaharu bahawa jumlah itu akan digandakan kepada RM600 juta tahun ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sebelum ini memaklumkan bahawa keputusan berhubung tuntutan 40% hasil Sabah dijangka diumumkan sebelum sambutan Hari Malaysia 2025.
Dr. Peter menegaskan, isu ini kini menjadi ujian besar terhadap kredibiliti Kerajaan Perpaduan, khususnya kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sama ada mampu menunaikan janji bersejarah tersebut atau sekadar mengekalkan MA63 sebagai retorik politik.
“Bagi parti tempatan Sabah seperti UPKO, isu 40% bukan sekadar tuntutan teknikal. Ia adalah garis perjuangan yang menentukan legitimasi mereka di mata rakyat,” katanya.
![]()