Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Hak 40% Sabah – Referendum politik rakyat bermula dari kampung

0

Oleh: Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
DEWAN GAWIR, MADSIANG (Penamang, Sabah), 13 November 2025 — Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak 40% hasil Sabah kini telah memasuki fasa baharu — bukan lagi sekadar isu perundangan, tetapi gerakan politik rakyat yang akan diuji dalam pilihan raya negeri akan datang.

Beliau menyatakan demikian menjelang ucapan khasnya di Konvensyen Rakyat dan Pelancaran Jelajah “Sabah First” yang akan diadakan di Dewan Gawir, Kampung Madsiang, Penampang malam ini — satu perhimpunan yang disifatkan sebagai permulaan kepada gelombang kesedaran rakyat Sabah terhadap hak mereka yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak mampu berkonvensyen di pusat bandaraya. Kita dari kampung, mula dari kampung, dan akan bergerak ke seluruh kampung,” ujar Ewon.
“Inilah semangat sebenar perjuangan — rakyat dari akar umbi bangkit menuntut hak 40% mereka.”

Menurut beliau, penerangan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri di Parlimen hari ini berhubung kedudukan hak 40% itu amat dihargai, khususnya apabila ditegaskan bahawa hak tersebut dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, beliau turut menegaskan bahawa rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tidak mengubah hakikat bahawa hak 40% Sabah bukanlah suatu ihsan politik.

“But an appeal is an appeal,” katanya ringkas, menggambarkan keyakinan bahawa hak itu kekal sebagai hak perlembagaan yang tidak boleh ditawar.

Ewon turut menjelaskan bahawa sepanjang tiga tahun berada dalam Kabinet Persekutuan, beliau konsisten memperjuangkan tafsiran bahawa hak 40% Sabah berada di luar tanggungjawab kewangan rutin Kerajaan Persekutuan di bawah Federal List. Namun, ujarnya, “jawapan yang saya terima masih sama seperti jawapan yang diberi di Tamu Gaya Street.”

Beliau menegaskan bahawa Penghakiman Bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025 kini menjadi dokumen wajib baca dan wajib dimiliki oleh setiap rakyat Sabah, kerana ia menjelaskan kedudukan sebenar Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Dalam ucapannya nanti, Ewon dijangka memberi penghargaan kepada dua pihak yang disifatkannya sebagai wira sebenar Sabah — Sabah Law Society dan pemuda di Tamu Gaya Street yang berani bertanya, “bila mau bayar 40%?”.

“Perjuangan hak Sabah ini bermula daripada keberanian rakyat biasa, bukan elit politik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini harus menjadi referendum politik rakyat Sabah untuk mempertahankan hak 40% mereka, dengan memberikan sokongan kepada parti-parti tempatan yang benar-benar membawa agenda Sabah First.

“Gerakan ini bukan anti-persekutuan, tetapi pro-Sabah — untuk memastikan Sabah mendapat haknya secara bermaruah dalam Persekutuan Malaysia,” jelas Ewon.

Pelancaran Jelajah “Sabah First” malam ini menandakan fasa baharu dalam politik rakyat Sabah — satu gelombang dari kampung ke kampung yang mengangkat semula suara akar umbi sebagai penentu masa depan negeri.

#SabahFirst!
EWON BENEDICK
Presiden UPKO

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.