Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Hamas mesti bebaskan 3 tebusan yang masih hidup hujung minggu ini – Israel

0

BAITULMAQDIS: Israel memberi amaran bahawa Hamas mesti membebaskan tiga tebusan yang masih hidup hujung minggu ini atau menghadapi sambungan perang di Gaza, selepas kumpulan pejuang itu menyatakan komitmennya terhadap perjanjian gencatan senjata.

Sumber Palestin melaporkan, kemajuan dalam usaha menyelamatkan perjanjian gencatan senjata terjejas teruk selepas pejuang Hamas berkata ia tidak akan membebaskan tebusan pada Sabtu, atas alasan Israel melanggar syarat gencatan senjata.

Israel membalas dengan amaran sekiranya Hamas gagal membebaskan tebusan mengikut jadual, ia akan menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza.

Perang di Gaza berlarutan lebih 15 bulan sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Israel kemudian menegaskan bahawa Hamas mesti membebaskan ‘tiga tebusan hidup’ pada Sabtu mengikut rangka kerja gencatan senjata.

“Jika tiga orang ini tidak dibebaskan.. jika Hamas tidak mengembalikan tebusan kami menjelang tengah hari Sabtu, gencatan senjata akan berakhir,” kata jurucakap kerajaan Israel, David Mencer.

Di persimpangan sempadan Rafah antara Mesir dengan Gaza, sekumpulan jengkaut berbaris menunggu untuk masuk ke wilayah Palestin yang musnah akibat perang, semalam.

Media yang dikaitkan dengan kerajaan Mesir berkata peralatan berat dan trak yang membawa rumah mudah alih sudah bersedia untuk masuk, tetapi Israel kemudian berkata mereka tidak akan dibenarkan masuk melalui persimpangan Rafah.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran minggu ini bahawa ‘akan ada akibat yang amat buruk’ akan tercetus jika Hamas gagal membebaskan semua tebusan yang tinggal menjelang tengah hari Sabtu.

Jika pertempuran disambung semula, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, perang Gaza yang baharu… tidak akan berakhir tanpa kekalahan Hamas dan pembebasan semua tebusan.

“Ia juga akan membolehkan Presiden Trump menunaikan wawasan untuk Gaza,” tambahnya.

Trump, yang kembali ke Rumah Putih, telah menguatkan sayap kanan Israel, mencetuskan kemarahan global dengan cadangan supaya AS mengambil alih Gaza dan memindahkan 2.4 juta penduduknya ke Mesir atau Jordan.

Pemberontak Huthi yang disokong Iran di Yaman semalam mengancam untuk melancarkan serangan baru ke atas Israel jika negara itu dan sekutunya, AS, meneruskan rancangan Trump untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.