Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Hukuman mati: Prosiding rayuan pemaju hartanah Vietnam bermula

0

HO CHI MINH CITY: Prosiding rayuan seorang taikun hartanah di Vietnam untuk mendapatkan hukuman ‘lebih ringan dan berperikemanusiaan’ selepas didapati bersalah melakukan penipuan bernilai AS$27 bilion, bermula hari ini.

Pemaju hartanah, Truong My Lan, 68, disabitkan kesalahan pada awal tahun ini atas pertuduhan menipu wang daripada Saigon Commercial Bank (SCB) – yang menurut pendakwa raya, dikuasai olehnya – dan dijatuhkan hukuman mati dalam satu daripada kes rasuah terbesar dalam sejarah Vietnam.

Kejadian itu menyebabkan puluhan ribu individu yang melaburkan simpanan mereka di bank terbabit mengalami kerugian, sehingga menggemparkan negara ini dan mencetuskan protes daripada mangsa.

Lan yang memakai baju berwarna biru, dibawa ke mahkamah di Ho Chi Minh City bawah kawalan ketat, hari ini.

Mahkamah akan meneliti rayuan Lan supaya hukuman ke atasnya diringankan, bersama-sama 47 defendan lain, sepanjang tempoh tiga minggu prosiding dihadiri 100 peguam, menurut laporan media.

Lan juga merayu dikecualikan daripada pembayaran yuran mahkamah sebanyak AS$26.5 juta.

Ketika sesi pendengaran itu bermula, kira-kira sedozen individu mengadakan bantahan kecil di luar sebuah cawangan SCB di Hanoi dengan menuntut supaya mangsa diberi bayaran balik.

Dalam rayuan lebih lima muka surat yang ditulis tangan itu, Lan berkata, hukuman mati dijatuhkan ke atasnya adalah ‘terlalu berat dan keras’, sekali gus memohon mahkamah mempertimbangkan pendekatan yang ‘lebih ringan serta berperikemanusiaan.’ – AFP

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.