Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Indonesia bina loji tenaga solar terapung 

0

JAKARTA: Pembekal elektrik milik kerajaan (Persero) membina loji tenaga solar terapung terbesar di Indonesia dengan kapasiti 561 kilowat puncak (kWp) yang terletak di Tambak Lorok, Kota Semarang di Jawa Tengah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, loji tersebut dikendalikan oleh anak syarikat Persero, Indonesia Power (PLN IP) .

Loji solar terapung itu merupakan sebahagian daripada kemudahan berjumlah 920 kWp yang sedang dibina oleh syarikat di beberapa bangunan kompleks Loji Tenaga Gas dan Stim (PLTGU) Unit Penjanaan Tenaga Semarang PLN IP.

Presiden Persero,  Darmawan Prasodjo berkata, pembinaan loji solar terapung itu menunjukkan komitmen pihaknya untuk menggalakkan program peralihan tenaga, mengurangkan kesan perubahan iklim dan mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih atau net-zero emissions menjelang 2060.

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, Darmawan berkata, pihaknya sudah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk tidak lagi mewujudkan kontrak baharu bagi pembinaan loji janakuasa arang batu.

“Sebaliknya kami sudah mula membina loji janakuasa berasaskan tenaga baharu dan boleh diperbaharui (EBT). Pelan besar kami beralih daripada loji janakuasa berasaskan fosil kepada loji janakuasa berasaskan EBT,” katanya dipetik Antara News.

Dalam pada itu, Pengarah PLN IP, Edwin Nugraha Putra berkata, pembinaan loji solar terapung itu adalah komitmen pihaknya dan anak syarikat, PT Indo Energi Hijau untuk mempercepatkan peralihan tenaga di Indonesia.

“Pembinaan selama lapan bulan di atas kolam air seluas satu hektar itu bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah berpotensi bagi mengintegrasikan penjanaan tenaga boleh diperbaharui.

“Pada tahun pertama pengoperasiannya, loji solar ini akan menghasilkan tenaga elektrik mesra alam sebanyak 1.4 juta kilowat jam (kWj) setahun dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sehingga 1,304 tan setiap tahun,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.