JAKARTA: Indonesia berada di kedudukan kedua dalam senarai negara-negara Asean yang merekodkan jumlah tertinggi perkahwinan kanak-kanak dan remaja bawah umur.
Perkara tersebut disahkan Kementerian Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (PMK) yang menekan tentang perkahwinan melibatkan wanita bawah umur yang semakin meningkat di negara ini.
Berdasarkan data Badan Pusat Statistik (BPS), sekitar 1.2 juta wanita di Indonesia berusia antara 20 hingga 24 tahun telah berkahwin sebelum berusia 18 tahun.
“Indonesia menduduki tempat ke-8 dunia untuk perkahwinan remaja bawah umur dan berada di tempat kedua di ASEAN,” kata Timbalan Penyelarasan Peningkatan Kualiti Kanak-Kanak, Wanita dan Belia, Femmy Eka Kartika Putri dalam taklimat media di Hotel Rayz UMM, Malang, Jawa Timur semalam.
Jelas Femmy, jutaan pernikahan di bawah umur di Indonesia disebabkan oleh pelbagai faktor.
Antaranya faktor utama termasuk masalah sosial, persekitaran, kesihatan, cara didikan, ekonomi, adat, budaya, tahap pendidikan, serta kemudahan terhadap akses informasi.
Menurut Femmy, pernikahan di usia terlalu muda juga menimbulkan pelbagai kesan serius seperti risiko berhenti sekolah, kekerasan rumah tangga, kematian ibu atau anak, kemiskinan, masalah psikologi dan mental serta penceraian.
“Satu daripada empat perempuan pernah mengalami kekerasan fizikal atau seksual dan laporan tersebut sentiasa meningkat setiap tahun. Malah ketika pandemik, jumlahnya lebih tinggi.
“Justeru pengantin muda perlu dididik agar dapat memiliki kecakapan hidup dan ketahanan ekonomi. Mereka harus menghabiskan persekolahan wajib selama 12 tahun dan memiliki kemampuan untuk menyara keluarga,” ujarnya.-AGENSI