Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Isu 40%, UPKO ambil Langkah bijak jayakan aspirasi rakyat

0

PENAMPANG: UPKO Penampang telah mengambil Langkah bijak untuk menjayakan aspirasi rakyat Sabah mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan di negeri itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Pemuda parti itu Billy Joe Dominic berkata, di peringkat UPKO, parti itu telah mengadakan perbincangan meja bulat mengenai tuntutan dan cadangan mekanisme pembayaran tuntutan 40 peratus itu pada 19 Disember 2023 melibatkan kehadiran antaranya tiga mantan Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

“Parti kami melalui kunjungan hormat diketuai Presiden, Datuk Ewon Benedick mengemukakan syor mekanisme pembayaran 40 peratus ini kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 9 Januari 2024.

“Bagaimanapun, tuntutan ini harus dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah mengikut struktur perundingan sedia ada di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Tuntutan tersebut harus dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja sebelum diangkat ke Jawatankuasa Teknikal MA63.

“Sekiranya masih belum selesai, maka tuntutan itu akan dibawa ke Majlis Khas Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan dianggotai oleh Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam, kenyataan, di sini, Khamis.

Billy Joe berkata, UPKO mengalu-alukan keprihatinan rakyat Sabah berhubung pemuktamadan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah sepertimana termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan yang juga harus dibaca bersama dengan beberapa provisi lain dalam perlembagaan.

“Presiden UPKO, sememangnya sudah bersedia menyokong segala tuntutan oleh kerajaan negeri Sabah, malangnya sehingga 28 Mei 2024 iaitu semasa Jawatankuasa Teknikal MA63 bersidang, kerajaan negeri Sabah belum mengemukakan tuntutan.

“Umum sudah mengetahui Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa bersidang pada 18 Julai 2023 telah menetapkan tempoh masa setahun bagi pemuktamadan mekanisme pembayaran khas tersebut, iaitu sehingga 18 Julai 2024.

“Jawatankuasa Teknikal MA63 telah bersidang pada 28 Mei 2024 tahun ini dan sehingga mesyuarat ini diadakan kerajaan negeri Sabah belum mengemukakan tuntutan atau cadangan mekanisme.

“Kerajaan negeri Sabah hanya mengemukakan tuntutan pada 18 Jun 2024, berbanding dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang telah mengemukakan tuntutan pada bulan Februari 2024,” jelas beliau.

Billy Joe berkata kerajaan negeri Sabah juga menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi membincangkan perkara berkaitan autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan berbanding dengan kerajaan negeri Sarawak yang telah bersidang dan berjaya menyelesaikan beberapa tuntutan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersidang.

“Kelewatan menghantar tuntutan menyebabkan Jawatankuasa Kerja berkaitan tuntutan 40 peratus tersebut tidak dapat bersidang dan juga tidak dapat dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal,” katanya.

Semasa mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 pada 28 Mei itu, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Peguam Besar Negeri dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan turut hadir dan menyatakan kerajaan negeri hanya dapat menghantar tuntutan atau cadangan mekanisme pada bulan Jun.

“Kerajaan negeri Sabah mungkin mempunyai sebab tersendiri berkenaan kelewatan tersebut termasuk penangguhan mesyuarat Jawatankuasa Kerja berkenaan autonomi pendidikan dan kesihatan. Sebaik-baiknya Kerajaan Negeri juga memberi penjelasan,” katanya.

 

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.