NABAWAN (Sabah, Malaysia): Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Bobbey Suan menekankan bahawa perpaduan yang menjadi pemangkin keharmonian dan keamanan di negera ini perlu dipertahankan.
Katanya, ia perlu dijaga kerana nilai itu telah wujud di negara ini sejak sekian lamanya.
“Nilai ini sudah ada pada kita,” katanya dan menambah, sama ada pemimpin itu di peringkat tinggi, bawahan, pemimpin pelbagai agama atau apa pun kedudukan mereka harus lah memberi perhatian dan tanggungjawab untuk memastikan perpaduan itu dijaga dengan sebaiknya.
Suan menegur golongan tertentu yang menjadikan agama atau politik bagi tujuan tertentu sehingga boleh mencelar perpaduan kaum serta agama, apa yang beliau sifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menyumbangkan kepada gangguan perpaduan.
“Jangan jadikan perbezaan kaum, fahaman agama atau aliran politik untuk merosakkan hubungan kita,” katanya.
Suan berada di gereja SIB Pekan Nabawan untuk merasmikan Seminar Pemerkasaan Pemimpin Kristian anjuran Majlis Gereja Daerah daerah itu.
Wakil Rakyat Nabawan itu mengajak pemimpin-pemimpin Kristian di situ supaya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat setempat.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Jubilin Kilan, Pastor Esak Johnius serta pemimpin-pemimpin setempat antara tetamu khas di majlis itu. Oleh: KALAWON SALANGIT