Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Buang sisa elektrik dan elektronik di rumah e-waste – MDK

0

MASYARAKAT  daerah Keningau diminta agar  membuang sampah jenis barangan elektrik dan elektronik di pusat pengumpulan Rumah E-Waste yang disediakan  dan ditempatkan di bangunan Majlis Daerah Keningau (MDK).

Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Mohd Fawzi Abdul Kadir (dua kiri) memberi taklimat kepada Rafie (tiga kiri) mengenai fungsi rumah e-waste Keningau

Pegawai Eksekutif MDK, Mohd Fawzi Abdul Kadir berkata, pejabatnya telah dipertanggungjawabkan untuk mengumpulkan barang-barang elektrik dan elektronik sebelum dilupuskan di tempat yang dikhaskan.

Katanya, usaha ini adalah bagi mengelak daripada tapak pelupusan sampah dipenuhi dengan barangan elektrik dan elektronik yang mana akan menjadi bahan toksik dan mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan manusia dan alam semula jadi termasuk untuk jangka masa panjang.

“Barangan ini juga, apabila kita buang di pelupusan sampah  akan mengambil masa yang terlalu lama untuk lupus.

“Jadi apa yang kita buat sekarang ini, kita mengutip dan mengumpulkan mana-mana barangan ini yang sudah dibuang oleh orang ramai dan kita buang di tempat khas yang sesuai untuk pembuangan jenis barangan ini,” jelasnya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sementara itu bagi, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah (AMD), Rafie Robert menyarankan kepada orang ramai di daerah itu agar membantu dan memberi sokongan kepada usaha MDK.

“Usaha ini adalah daripada kesedaran kita semua dan tidak hanya terletak di bahu kakitangan MDK demi kebaikan kita bersama pada masa kini dan masa akan datang.

“Sekurang-kurangnya  usaha kita ini, dapat membantu dalam penjagaan alam sekitar dan kesihatan kita,” jelasnya.

Tambahnya, sebarang pertanyaan mengenai pusat pengumpulan Rumah E-Waste boleh berhubung dengan Majlis Daerah Keningau melalui ditalian 087-341180 / 188.

Terdahulu, Majlis Daerah Keningau  pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan pengumpulan Household E-Weste iaitu sisa elektrik dan elektronik daripada isi rumah sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2017 peringkat negeri Sabah.

 

 705 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.