JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akui hingga kini belum ada satu pun pelaburan asing yang masuk ke Nusantara.
Bagaimanapun, beliau percaya pelabur asing akan segera memasuki ibu negara baharu itu selepas pelabur domestik membuat langkah awal.
“Sehingga kini tidak ada pelaburan asing.
“Tetapi saya yakin selepas pelabur domestik masuk dan semakin ramai setiap bulan, pelabur dari luar tidak lama lagi akan masuk. Kita lihat saja mereka pasti akan masuk,” katanya dipetik Kompas.com.
Menurut beliau, pada peringkat pertama terdapat beberapa bidang keutamaan pelaburan asing di Nusantara melibatkan pendidikan, kesihatan dan teknologi.
“Ini adalah pameran transformasi Indonesia dan tahun depan kita merancang menyambut hari kemerdekaan di Nusantara untuk menunjukkan bahawa kita sudah memiliki ibu kota baharu meski pun pembinaannya hanya akan siap sepenuhnya 15 atau 20 tahun dari sekarang,” jelasnya.
Pengarah Pembiayaan Pihak Berkuasa Permodalan Nusantara (OIKN), Muhammad Naufal Aminuddin berkata, terdapat lebih 500 projek pelaburan dikenal pasti di Kawasan Teras Kerajaan Pusat (KIPP) dengan sekitar 190 daripadanya adalah pembinaan kawasan lapang hijau.
“Biarpun berpotensi besar untuk pelaburan dalam pelbagai bidang termasuk hartanah, tidak semua kawasan akan digunakan untuk pembangunan kerana Nusantara direka dengan konsep bandar pintar dan bandar hutan,” katanya.