Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Jokowi bimbang sekolah tutup kes buli demi jaga reputasi

0

JAKARTA: Presiden Joko Widodo atau Jokowi menggesa kes buli di sekolah ditangani segera selain mengingatkan pihak pengurusan sekolah tidak menutup kes demi menjaga reputasi.

“Dalam banyak keadaan, kita melihat kes buli ditutup untuk menjaga reputasi sekolah. Saya percaya perkara yang betul untuk dilakukan ialah menyelesaikan (kes) dan menambah baik (sistem sekolah),” katanya yang melahirkan kebimbangan terhadap kes buli, keganasan dan penderaan seksual di sekolah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres XXIII Persatuan Guru Indonesia (PGRI) di sini.

Portal Antara melaporkan presiden menegaskan Indonesia tidak mampu membiarkan kes seperti itu terus menimpa bakat mudanya, sambil menyatakan sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk kanak-kanak belajar, bertanya soalan, mencipta, bermain dan bersosial.

“Kita tidak sepatutnya membiarkan kanak-kanak takut untuk pergi ke sekolah. Pelajar tidak sepatutnya berada di bawah tekanan apabila mereka berada di sekolah,” tegasnya.

Jokowi turut mengharapkan guru menjadi peneraju dalam perjalanan negara mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih selamat dan selesa untuk semua pelajar.

Beliau menggesa guru supaya mengutamakan langkah pencegahan dalam usaha melindungi pelajar daripada buli dalam persekitaran sekolah.

“Saya mahu anda mengutamakan tindakan pencegahan. Sepatutnya anda mengutamakan hak anak-anak kita terutama mereka yang menjadi mangsa kes buli. Selesaikan kes sebegini daripada menutupnya,” katanya.

Presiden juga mengingatkan guru mengenai kepentingan membantu kanak-kanak Indonesia mengembangkan kemahiran, bakat dan watak mereka untuk menghasilkan kumpulan bakat berkualiti dengan harapan dapat mengoptimumkan bonus demografi yang akan datang untuk mencapai Wawasan Indonesia Emas 2045.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.