Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Konservatif berpotensi sapu bersih kerusi Parlimen Iran

0

TEHRAN: Parti konservatif di Iran dilihat berpotensi menyapu bersih kerusi pada pilihan raya Parlimen berikutan rekod peratusan keluar mengundi yang rendah.

Peratusan keluar mengundi tidak rasmi yang dipetik media tempatan adalah sekitar 41 peratus iaitu yang terendah sejak Revolusi Islam 1979.

Berbanding pilihan raya Parlimen terakhir dijalankan pada Februari 2020, beberapa hari selepas Iran merekodkan kes pertama COVID-19, peratusan keluar mengundi sebanyak 42.4 peratus.

Kali ini, lebih 15,000 calon bertanding untuk 290 kerusi di Parlimen (Majlis), manakala 144 calon bertanding untuk 88 anggota Dewan Pakar yang melantik pemimpin tertinggi negara.

Portal Agensi Anadolu melaporkan daripada 87 juta penduduk negara itu, lebih 61 juta layak mengundi, kebanyakannya pengundi kali pertama.

Sementara itu, jurucakap ibu pejabat pilihan raya, Mohsen Islami, berkata sejumlah 3,501 daripada 5,000 pusat mengundi siap dikira.

Berdasarkan kiraan itu, Ahli Parlimen veteran, Mahmoud Nabavian memperoleh 342,526 undi, diikuti seorang lagi Ahli Parlimen, Hamid Resaee dengan 285,851, wartawan Amir Hossein Sabiti sebanyak 277,885 undi dan bekas Speaker, Mohammad Baqer Ghalibaf di tempat keempat dengan 259,930 undi.

Hanya beberapa reformis yang bergelut kali ini dengan beberapa gagal mendapat isyarat daripada Majlis Penjaga, badan pemeriksa tertinggi, manakala yang lain menjauhkan diri.

Seorang ahli politik reformis terkemuka dan bekas timbalan Speaker parlimen yang mengetuai pakatan 30 anggotanya sendiri, Ali Motahari turut gagal meraih kerusi.

Bagaimanapun seorang ahli politik reformis yang berpengalaman, Masoud Pezeshkian, berjaya memperoleh undi yang mencukupi untuk mengatasi lawannya dan akan mewakili bandar asalnya, Tabriz di utara Iran.

Pemilihan untuk Dewan Pakar, yang mana 144 pesaing bertanding untuk 88 kerusi, tidak menimbulkan sebarang kejutan besar.

Presiden Ebrahim Raisi mengekalkan kerusinya buat kali ketiga berturut-turut, memperoleh lebih 82 peratus undi dari wilayah Khorasan Selatan.

Bekas presiden, Hassan Rouhani pula hilang kelayakan oleh Majlis Penjaga daripada bertanding dalam pemilihan Dewan Pakar.

Pusat undian dibuka pada Jumaat jam 8 pagi waktu tempatan dan dijadualkan ditutup pada jam 6 petang, bagaimanapun pihak berkuasa melanjutkan tempoh masa sehingga tengah malam untuk membolehkan lebih ramai orang keluar mengundi.

Jurucakap Majlis Penjaga, Hadi Tahan Nazif, berkata orang ramai dan calon mempunyai lima hari untuk mendaftarkan sebarang aduan mengenai proses pilihan raya.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.