Oleh DG HENRY
DATUK Seri Hamzah Zainudin berkata, sudah sampai waktu yang tepat untuk menjadikan perayaan pesta Ka’amatan sebagai produk pelancongan yang boleh diketengahkan diperingkat antarabangsa.
Katanya, intipati pesta itu yang mengetengahkan budaya dan tradisi suku kaum Kadazan Dusun sangat berkualiti dan boleh dipromosikan ke peringkat yang lebih jauh.
Menteri Dalam Negeri Malaysia itu menyarankan agar perayaan ini dianjurkan di peringkat negara dan antarabangsa bagi membolehkan lebih ramai orang tahu mengenai budaya dan tradisi masyarakat Kadazan Dusun.
Katanya, tidak dinafikan rakyat Malaysia tahu mengenai perayaan ini, tetapi tidak secara jelas dan mendalam.
“Jarang pemimpin dari peringkat persekutuan dijemput merasmikan ke Pesta Kaamatan. Saya pun pertama kali menghadiri perayaan ini dan ia bagi saya satu rasa yang berbeza.
“Ini (Pesta Kaamatan) satu produk yang boleh diketengahkan di peringkat negara dan dunia. Buat siaran langsung supaya orang lain boleh tengok. Buat jualan kraftangan semasa acara berlangsung supaya kreativiti masyarakat Kadazan Dusun boleh ditonjolkan.
“Pesta Kaamatan ini boleh diketengahkan sebagai budaya yang unik sekaligus bagi memastikan kesinambungannya untuk generasi akan datang. Saya rasa bangga apabila dijemput, saya rasa seperti satu keluarga besar,” katanya.
Hamzah merasmikan Perayaan pesta itu bagi Daerah Beluran di Dewan Serbaguna di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata Pesta Kaamatan tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran selepas dua tahun negara bergelut dengan pandemik Covid-19.
Katanya, pesta itu menjadi wadah untuk memupuk hubungan yang erat bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun tetapi semua kaum di negara ini.
“Kehadiran pemimpin dari luar Sabah akan mengangkat budaya Kadazan Dusun ke persada lebih tinggi dan mampu memperlihatkan keunikan masyarakat Kadazan Dusun untuk diketahui oleh rakyat Malaysia.
“Ia menjadi hasrat kita agar Pesta Kaamatan bukan sahaja diraikan oleh suku kaum Kadazan Dusun yang berada di Sabah atau sudah menetap di negeri lain, tetapi secara keseluruhan oleh rakyat Malaysia.
“Ini kerana pesta ini mampu mengukuhkan perpaduan serta menjadi wadah ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang hidup bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.