JAKARTA: Seorang wanita di Indonesia menarik perhatian warganet selepas berkongsi kisah inspirasi menurunkan berat badannya sebanyak 52 kilogram (kg) hanya kerana mahu membuatkan bekas teman lelakinya menyesal.
Lapor wolipop.detik.com, Mia Risalinda berjaya menurunkan berat badannya daripada 115kg kepada 63kg.
Mia turut berkongsi perjalanan menurunkan berat badannya di akaun TikTok peribadi, @mionggggg10.
Dalam video dimuat naik di aplikasi itu, Mia memberitahu dia mahu membuktikan kepada bekas kekasihnya yang sering memperlekehkan keadaan fizikalnya, bahawa dirinya masih boleh bersinar.
“Niat mahu turunkan berat badan sehingga 30kg supaya bekas kekasih saya menyesal namun kini menyusut lebih 50kg, hasilnya daripada 115kg kepada 63kg,” katanya.
Dalam video itu, Mia memuat naik gambar dirinya memiliki berat badan berlebihan yang mencecah 115kg.
Katanya, selepas melalui pelbagai cabaran, dia berjaya mencapai berat badan yang ideal.
Mia juga berkongsi rutin harian dalam mengamalkan diet penurunan berat badan.
“Selepas bangun dari tidur, saya selalu minum satu liter air dan jus lemon dicampur dengan biji chia.
“Bagi sarapan pula, saya makan oat dengan susu dan pisang. Biasanya, saya juga menggunakan biji chia dan buah-buahan lain untuk menjadikannya hidangan yang sihat,” katanya.
Dalam satu lagi video, Mia mengakui disebabkan berat badannya berlebihan, dia sering berasa amat sukar untuk bergerak.
Malah, katanya, dia pernah alami detik hitam ketika di bangku sekolah kerana berat badan berlebihan.
“Dahulu, saya sering dibuli oleh rakan kerana mempunyai tubuh badan yang besar,” katanya.