JAKARTA: Pemain skuad Garuda bawah 20 tahun (B-20) menyerang media sosial milik Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo setelah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melucutkan status Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 2023.
Keputusan itu dibuat selepas Presiden FIFA, Gianni Infantino bertemu Presiden Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir di Doha.
Undian kumpulan sepatutnya diadakan hari ini, namun sejak beberapa hari lalu, beberapa pemerintah dan ahli politik Indonesia lantang mengkritik kehadiran Israel ke negara itu, antaranya Ganjar serta Gabenor Bali, I Wayan Koster.
Barisan pemain muda Indonesia, diketuai Hokky Caraka menyifatkan Ganjar sebagai pemusnah impiannya.
“Terima kasih banyak. Kami tahu nasib anda sudah terjamin dan masa depan juga sudah bagus, sedangkan kami?
“Kami baru sahaja mahu merintis karier menjadi lebih baik, tetapi batu loncatan sudah dihancurkan oleh anda,” kata Hokky.
Penjaga gol skuad B-20, Cahya Supriyadi pula menganggap Ganjar telah memusnahkan impian ‘budak kampung’.
“Terima kasih tuan. Impian budak kampung ini yang ingin mempertahankan Indonesia dalam Piala Dunia hanyalah mimpi! Doa kami, semoga tuan sentiasa sihat. Sia-sia impian anak bangsa ini, tuan,” tulisnya.
Marselino Ferdinan pula menulis sindiran menggunakan bahasa Jawa kepada Ganjar.
“Sihat-sihat ya Pak. Tidak ada apa-apa Pak, saya tidak marah. Yang penting bapa baik dan sihat,” tulisnya.
“Terima kasih Pak, orang tua saya tidak boleh bercerita kepada teman-temannya jika dia mempunyai anak yang sangat membanggakan kerana bermain dalam Piala Dunia,” kata pemain tengah, Arkhan Fikri pula. – AGENSI