Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kemboja dakwa tentera Thailand menyerang wilayah tumpuan pelancongan Angkor Wat

0

PHNOM PENH, 16 Dis 2025 — Kemboja mendakwa Thailand menyerang jauh ke dalam wilayahnya dengan melancarkan serangan udara termasuk pengeboman di wilayah Siem Reap, yang menempatkan kompleks kuil purba Angkor dan tarikan utama pelancongan negara itu.

Kementerian Pertahanan Kemboja dalam kenyataan semalam, mendakwa sebuah jet pejuang tentera Thailand mengebom 10 lokasi di tiga wilayah bersempadan iaitu Oddar Meanchey, Banteay Meanchey dan Pursat.

Kenyataan itu juga mendakwa tentera Thailand mengebom berhampiran pusat perlindungan orang awam yang kehilangan tempat tinggal di kawasan Srei Snam, wilayah Siem Reap.

Kawasan itu terletak kurang daripada dua jam perjalanan dari kompleks kuil Angkor dan tarikan pelancong utamanya, tapak warisan UNESCO, Angkor Wat.

Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra, memberitahu AFP bahawa ia adalah serangan ‘paling jauh’ yang dilakukan oleh tentera Thailand ke dalam wilayah Kemboja, lebih 70 km (43 batu) dari sempadan dan jauh dari kawasan yang dipertikaikan.

Beliau berkata, ia juga adalah kali pertama tentera Thailand mengebom kawasan di wilayah Siem Reap.

“Pengeboman itu memaksa ratusan keluarga yang sudah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa melarikan diri dari ke kawasan lain,” katanya.

Serangan udara di Kemboja semalam, sekali lagi menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri lebih jauh ke pedalaman, kira-kira 90 minit dari Daerah Srei Snam, Wilayah Siem Reap, menuju ke Siem Reap.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 2,000 penduduk tinggal di khemah di kawasan Kuil Chroy Neang Ngourn selepas pertempuran sengit antara Thailand dan Kemboja meletus semula pada 8 Disember lalu, susulan lima hari pertempuran pada Julai.

Tinjauan di kuil yang menempatkan rakyat dipindahkan semalam, mendapati ramai dilihat memunggah khemah sementara dan memuatkan barangan ke atas trak serta kereta sorong.

Ketika itu, banyak khemah didirikan di atas tanah sepanjang lebih 400 meter di luar pintu kuil.

Kemboja amat bergantung pada sektor pelancongannya dan data kementerian pelancongan menunjukkan ketibaan pelancong asing ke Kemboja tahun lalu mencecah 6.7 juta, jumlah tahunan tertinggi pernah dicatatkan.

Namun, ketibaan dari Julai hingga September tahun ini menurun kira-kira sepertiga berbanding 2019, tahun sebelum pandemik. Jualan tiket bulanan ke taman arkeologi Angkor turun sekurang-kurangnya 17 peratus tahun ke tahun dari Jun hingga November, menurut data daripada pengendali Angkor Enterprise.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Kemboja, Chhay Sivlin, memberitahu AFP bahawa beberapa pelancong yang merancang untuk melawat Kemboja melalui lintasan sempadan Thailand telah membatalkan rancangan atau menukar laluan melalui negara jiran Vietnam atau Laos.

Beliau berkata, laporan pengeboman di wilayah Siem Reap membuatkan “beberapa pelancong yang menempah perjalanan mereka sangat bimbang malah ada yang telah membatalkan atau meminta untuk menangguhkan perjalanan mereka.

Berikutan pertempuran itu juga ribuan orang awam yang dipindahkan terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan di mana-mana sahaja, termasuk di kuil, sekolah dan pusat pemindahan yang didirikan secara tergesa-gesa.

Sebahagian mereka terpaksa melarikan diri lebih jauh berbanding lain apabila letupan bom dan bedilan artileri semakin hampir. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.