Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kenderaan pendaratan bulan AS, Odysseus, masih ‘hidup dan sihat

0

WASHINGTON: Kenderaan pendaratan bulan, Odysseus, dikesan masih ‘hidup dan sihat’ tetapi sedang berehat selepas senget sedikit semasa pendaratan di permukaan bulan.

Ia adalah kapal angkasa swasta pertama yang pernah sampai ke permukaan bulan dan pertama dari Amerika Syarikat (AS) sejak 1972, kata syarikat pengendalinya yang berpangkalan di Houston, Intuitive Machines, semalam.

Syarikat terbabit, yang membina dan menerbangkan pendarat itu berkata, kenderaan itu dipercayai terbalik apabila menurunkan satu daripada enam kaki pendaratan di permukaan bulan semasa ia sedang mendarat dan kini sedang berada di atas batu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Intuitive Machines, Stephen Altemus berkata Odysseus ‘stabil berhampiran atau di tapak pendaratan’ berhampiran kawah yang dipanggil Malapert A di kawasan kutub selatan bulan.

Katanya, mereka mempunyai komunikasi dengan pendarat dan sudah menghantar arahan kepada kenderaan itu, malah berkata pasukannya sedang berusaha untuk mendapatkan imej foto pertama dari permukaan bulan di tapak pendaratan.

Kemas kini ringkas mengenai status misi yang disiarkan ke laman sesawang syarikat semalam menggambarkan Odysseus ‘hidup dan sihat’.

Syarikat itu berkata, sejurus selepas pendaratan kelmarin, isyarat radio menunjukkan Odysseus sudah mendarat dalam kedudukan tegak, tetapi Atlemus berkata, ia kesimpulan yang salah berdasarkan telemetri sebelum pendaratan.

Pengarah misi Intuitive Machines, Tim Crain, pula berkata, kapal angkasa itu membakar bahan api cecair metana dan oksigen cecair untuk pertama kali di angkasa dan ‘berhasil dengan sempurna’ semasa penerbangannya ke bulan.

Altemus berkata, kapal angkasa itu sedang mengecas dengan cara sepatutnya daripada tenaga suria dan dicas sepenuhnya 100 peratus.

Kapal angkasa robot berkaki enam tanpa kru itu mencapai permukaan bulan kelmarin, selepas beberapa masalah timbul seperti sistem pengemudi pendaratan, yang memaksa jurutera di darat menggunakan kaedah yang belum diuji pada saat terakhir.

Ia juga mengambil sedikit masa untuk menyambung kembali selepas terputus hubungan radio, untuk mewujudkan semula komunikasi dengan kapal angkasa dan menentukan nasibnya kira-kira 384,000 kilometer (km) dari Bumi.

Pegawai Intuitive Machines berkata, apabila komunikasi diperbaharui, isyarat yang samar diterima mengesahkan kenderaan pendarat sudah mendarat tetapi di luar jangkauan kawalan misi dan keadaan serta kedudukan tepat kenderaan sukar dipastikan.

Pendarat itu membawa satu set eksperimen saintifik untuk NASA dan beberapa pelanggan komersial, yang direka untuk beroperasi selama tujuh hari menggunakan tenaga suria sebelum matahari terbenam di atas tapak pendaratan di kutub. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.