TEHRAN: Iran mengecam serangan terbaharu Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) di Yaman yang disifatkan bercanggah dengan niat mengelak konflik Timur Tengah yang lebih meluas.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani berkata serangan itu jelas bercanggah dengan dakwaan berulang Washington dan London bahawa mereka tidak mahu meluaskan peperangan dan konflik di rantau ini.
“Serangan lanjut ke atas pemberontak Huthi Yaman yang disokong Iran sebagai tindak balas kepada serangan kumpulan itu ke atas perkapalan antarabangsa di Laut Merah adalah ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Iran turut menuduh AS dan Britain menimbulkan huru-hara, kekacauan, ketidakamanan dan ketidakstabilan dengan menyokong Israel dalam perangnya menentang Hamas di Semenanjung Gaza.
Semalam, AS dan UK menyerang berpuluh-puluh sasaran di Yaman susulan serangan Huthi di Laut Merah, dikatakan pemberontak sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza yang dilanda peperangan.
Sehari sebelumnya, tentera AS menyerang sasaran di Syria dan Iraq sebagai tindak balas terhadap serangan dron pada 28 Januari ke atas pangkalan di Jordan yang membunuh tiga tentera AS.
Presiden AS, Joe Biden turut menyalahkan `kumpulan pejuang yang disokong Iran radikal’ atas serangan itu, tetapi berkata negaranya tidak mencari konflik yang lebih luas di Timur Tengah.
“Saya tidak fikir kita memerlukan perang yang lebih luas di Timur Tengah. Bukan itu yang saya cari,” katanya.
– AFP