Kerajaan madani dukung aspirasi Orang Asal – Ewon
“Kita bukan mencipta bangsa baharu tetapi kita menggalakkan perpaduan masyarakat Orang Asal” - Ewon
KOTA BELUD: Kerajaan Madani melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus mendukung aspirasi Orang Asal untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik, tegas menteri itu Datuk Ewon Benedick.
Justeru katanya, Orang Asal perlu memperkasakan penyertaan dalam gerakan keusahawanan dan koperasi agar turut sama menyumbang kepada ekonomi negara.
“Sebab itu saya bermula dengan meletakkan pimpinan mewakili Orang Asal di kebanyakan agensi di bawah KUSKOP antaranya SME Corp, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), UDA Holdings, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
“Sumbangan awal saya ini untuk memastikan agensi-agensi kementerian dapat memberi makna kepada peranan masyarakat Orang Asal Sabah terhadap pembangunan negara kita sesuai dengan tema sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2024 “Memupuk Perpaduan, Keusahawanan dan Koperasi Orang Asal”,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sambutan Hari Orang Asal Sedunia, di Dewan Kadamaian Square, Khamis.
Katanya, beliau telah memperkenalkan pelbagai skim khusus untuk membangunkan keusahawanan dan koperasi orang asal Sabah dan Sarawak.
“Saya telah memperkenalkan geran khusus untuk usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak tahun lepas iaitu Program BEEP Plus yang dilaksanakan oleh SME Corp dan sambutan amat memberangsangkan.
“Bagi membantu para peniaga di tamu-tamu, saya juga telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) khusus untuk Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan oleh Tekun Nasional dan dilancarkan di Dewan Kadamaian Square pada tahun lalu.
“Selain itu buat julung kalinya KUSKOP melaksanakan Program Tamu Desa iaitu pembiayaan untuk menaik taraf dan membina baharu premis-premis Tamu Desa di kampung-kampung, pekan-pekan dan luar kawasan perkadaran Sabah dan Sarawak untuk masyarakat Orang Asal.
“Ini sumbanan saya sebagai pemimpin Orang Asal dalam kerajaan dan kementerian seterusnya mengembalikan tanggungjawab itu kepada Orang Asal,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, selain menyatupadukan rumpuan Orang Asal supaya tidak selamanya dikenali bangsa ‘lain-lain’ dalam borang-borang rasmi kerajaan, pembangunan keusahawanan dan koperasi juga perlu diberi keutamaan.
“Terima kasih atas usaha merumpunkan Orang Asal dalam satu istilah ‘Momogun’. Kita bukan mencipta bangsa baharu tetapi kita menggalakkan perpaduan masyarakat Orang Asal.
“Identiti berasaskan inti sikap, budaya orang asal yang terus bekerja keras, berintegriti dan digeruni, budaya mencetuskan kejayaan dalam pelbagai bidang. Negara ini adalah milik kita dan harus ada sumbangan besar kepada negara.
“Sumbangan itu bermula daripada nilai sikap masyarakat kita, kerjasama dan kesatuan kita. Walaupun berbeza pendirian politik namun dalam soal membangun masa depan dan mempertahankan hak dan tuntutan kita, kita harus bersatu hati,” katanya.