MENTALITI ketam (crab mentality) merujuk kepada cara pemikiran masyarakat KDM (KadazanDusun dan Murut) atau peribumi (Bumiputera anak negeri) Sabah di mana mereka akan menjadi sangat irihati atau cemburu apabila rakan atau saudara-mara mereka mencapai sesuatu kemajuan dalam apa bidang pun, terutama dalam bidang perniagaan, ekonomi, pendidikan dan juga politik.

Melihat sahaja kemajuan orang lain, mereka mula memperkatakan sesuatu yang bersifat negatif. Biasanya ditimbulkan sangkaan-sangkaan jahat tentang bagaimana sasaran itu mendapat kemajuan.
Sangkaan pertama bagaimana seseorang itu boleh maju dalam perniagaan ialah dia telah menipu dan masih terus menipu tanpa berhati perut. Maka kedengaranlah kisah bagaimana si anu telah ditipu olehnya, dan bagaimana dia pernah bercakap dan berbuat jahat di satu masa dulu, bagaimana dia telah berhutang sekian banyak dan sehingga sekarang belum juga dibayar, dan entah apa lagi.
Pendek kata, bermula dengan jelingan cemburu, timbul komen kurang manis, dan akhirnya komen-komen ini menjadi kutukan-kutukan kesat hingga orang yang berjaya itu dituduh lagi menggunakan bantuan-bantuan ghaib untuk memikat pelanggan, memukau orang, memugai (memikat dengan ilmu hitam) janda kaya, dan bermacam-macam lagi.
Istilah mentaliti ketam timbul dengan merujuk gerak-geri kumpulan ketam dalam sebuah bakul. Ketam-ketam cuba keluar dari bakul itu untuk melepaskan diri, tetapi usaha ini tidak mudah dilakukan kerana ketam-ketam yang lain di belakang, di sisi kiri dan kanan akan menarik kembali ketam-ketam yang hampir keluar dari bakul itu.
Malah ketam-ketam di belakang akan memijak dan mencakar ketam-ketam yang di depan dan menghirit turun yang sudah hampir terlepas. Akhirnya semua ketam-ketam tidak dapat keluar dari bakul itu kerana sikap mereka yang setiap satu mementingkan diri sendiri dan terus menjatuhkan yang lain.
lawak yang mengatakan bahawa ketam KDM dalam sebuah bakul tidak payah ditutup kerana mereka semua tidak akan dapat keluar kerana sikap itu. Sebaliknya, bakul ketam Cina, Pakistan, Jawa, Bugis perlu ditutup kuat kerana hampir semua mereka akan cepat terlepas kerana ketam-ketam di belakang tidak akan menarik ke belakang mereka-mereka yang mahu naik keluar tetapi akan menyorong mereka untuk membantu mereka terlepas dan maju!
Dalam satu kisah muka depan sebuah akhbar kebangsaan tidak lama dahulu, diceritakan bagaimana orang Melayu sendiri menggunakan ilmu hitam untuk menjatuhkan pesaing mereka dalam perniagaan.
Perbuatan ini dilakukan dengan menggunakan patung kecil yang dibungkus dengan kain putih yang telah dijampi serapah dan ditanamkan di tempat peniaga yang menjadi saingan.
Dalam masyarakat KDM juga terdapat banyak amalan ilmu hitam yang sengaja dilakukan bukan sahaja untuk menjatuhkan saingan malah untuk menjadikan mereka sakit dan meninggal dunia.
Sungguh menyedihkan apabila kita mendengar orang-orang KDM sendiri memiliki kecurigaan terhadap kemajuan bangsa sendiri, yang meletakkan nilai bangsa itu terlalu rendah menurut pandangan bangsa-bangsa yang lain.
Di pedalaman Sabah umpamanya, ramai bangsa lain meraih keuntungan besar daripada pembelian tanah milik orang kampung disebabkan kebodohan KDM itu sendiri.
Sahabat saya pernah menangis apabila melihat semua ikan-ikan di kolamnya telah terapung mati kerana telah diracun orang yang cemburu, kenalan lain pula gagal dalam pilihanraya kerana serangan fitnah yang dilakukan oleh bangsa sendiri.
Inilah apa yang sedang berlaku kepada bangsa KDM sejak dulu dan kini, rasa cinta, sayang dan bangga mereka kepada bangsa sendiri pudar dan terhakis yang tidak ada seorang pun berjaya untuk mengungkai puncanya.
Ada sahabat mendakwa, sejujurnya KDM dilahirkan dengan mewirisi genetik yang tidak sihat daripada moyang mereka sejak azali. Mungkin kah betul?! Seorang menteri KDM menubuhkan pasukan tentera maya (Siber Troper) untuk menjatuhkan sahabatnya yang juga KDM bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Memandangkan hebatnya permainan cantas-mencantas bukan sahaja di kalangan mansyarakat kampung tetapi juga di kalangan orang berpengaruh, hatta di pejabat-pejabat tempat bekerja, kita dipaksa untuk mencari strategi cermat untuk menghindarkan diri daripada menjadi mangsa kutukan dan serangan yang menggunakan pelbagai versi.
Kes-kes pembunuhan Datuk Sosilawati, Canny Ong dan Mazlan Idris (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam di Pahang) oleh Mona Fandey dan rakan-rakan, mengesahkan betapa seriusnya kejahatan manusia yang masih mengancam manusia sekalipun di era globalisasi ini.
PRU-15 dilihat menjadi medan pertarungan politik yang sangat sengit berbanding PRU-14, kisah yang sedang kita nantikan ialah lintas langsung pertarungan antara calun KDM dengan KDM, dan jika ini berlaku maka bangsa KDM perlu setuju dengan pendapat bahawa pada penghujungnya, bangsa asal itu sekadar survaival politik kepada bangsa-bangsa tertentu.
Kucar-kacir dan teraburnya KDM di Sabah sebenarnya disebabkan bangsa itu tidak mempunyai ‘pemandu’ yang cekap untuk menuju ke destinasi dimana TATABA yang hilang itu disimpan. – DG HENRY.
![]()