Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kimanis dahaga perubahan, bukan keterusan hidup atau politik tertentu?

0
Profesor Ir Rosalam Sarbatly

PENDUDUK Kimanis, Bongawan dan Membakut rata-rata terdiri daripada suku kaum Brunei sekitar 60% dan Dusun sekitar 30%,  selebihnya bangsa lain seperti kaum Cina dan Bugis.

Parlimen Kimanis merupakan antara kawasan yang mempunyai jumlah pengundi yang kecil iaitu 29,664 (2019). Sumber ekonomi masyarakat adalah peniaga kecil dan sedarhana seperti menjual hasil-hasil laut seperti belacan, ikan kering dan bilis, penghasilan dan pengendali makanan tradisi dan ruji harian, nelayan, kakitangan kerajaan selain aktiviti pertanian.

Isu-isu umum dihadapi oleh penduduk tempatan khususnya anak-anak mereka yang berpendidikan tinggi adalah peluang pekerjaan terhad. Gejala sosial seperti masalah penyalahgunaan dadah juga agak membimbangkan. Antara lokasi gejala sosial seperti pantai Kenangan. Di Membakut, isu utama adalah sering dilanda banjir.

Berdasarkan kepada ekonomi dan isu-isu di Parlimen Kimanis, adalah amat wajar pemimpin tempatan menumpukan kepada kaedah baharu menyelesaikan isu-isu masyarakat misalnya cadangan-cadangan bagi membantu para nelayan, dan pengusaha PKS seperti kebersihan dan keselamatan makanan, pembungkusan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan.

Membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda merupakan perancangan jangka sedarhana dan panjang. Antaranya adalah projek-projek yang bersifat pembangunan lestari misalnya cadangan membangun Bandar Pendidikan (universiti) di kawasan Binsuluk seperti cadangan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Pembinaan Loji Pemprosesan Gas Asli dan menjadikan Kimanis sebagai sebuah Daerah seperti janji Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Afdal.

Soal dasar PSS yang dibawa oleh pihak pembangkang sejak awal kempen pilihanraya lebih bersifat agenda politik bertujuan untuk mengganggu dan mengalihkan tumpuan masyarakat serta pemimpin kerajaan dalam hal-hal berkaitan masyarakat setempat.

Dasar PSS asasnya adalah kaedah menyelesaikan isu kronik sosial dan keselamatan di Sabah yang menimpa masyarakat tempatan selama ini. Isu ini sudah tertangguh lama dan mesti diselesaikan segera tanpa ada batasan politik demi kebaikan Wilayah Sabah secara keseluruhannya dan bergerak maju ke depan dalam era dunia tanpa sempadan. Isu PTI ini merupakan kegagalah utama kepimpinan sebelumnya  yang tidak diurus dan diselesaikan dengan baik, mungkin  kerana telah banyak mendapat kelebihan atas kehadiran PTI di Sabah.

YB Datuk Azis Jamman, seorang pemimpin anak muda yang agresif amat yakin dasar PSS yang diutarakan oleh pembuat dasar di Kementerian Dalam Negeri mampu menyelesaikan isu kronik PTI di Sabah.

Malangnya, beliau cuba  diperangkap  oleh otai-otai politik menerusi permainan persefsi bagi membina imej Wariasan sebagai mesra PTI agar masyarakat terlupa (walaupun sebenarnya masyarakat sedar) asal usul isu kronik ini adalah ciptaan pimpinan-pemimpin kerajaan sebelumnya yang melihat penghijrahan beramai-ramai mangsa perang di Selatan Filipina ke Sabah sebagai sumber tenaga buruh murah dan bagi kepentingan politik.

Para otai politikus pembangkang sedang menggambarkan dasar PSS bakal menyebabkan anak cucu masyarakat tempatan akan kehilangan hak-hak keistimawaan kepada PTI, sedangkan hakikatnya masyarakat tempatan yang naive telah kehilangan banyak hak kepada  kepada golongan elit tempatan yang tamak bukan kepada PTI.

Sikap kurang yakin ini sebenarnya cuba menafikan daya intelek dan kebolehan generasi muda untuk bersaing dalam dunia tanpa sempadan. Ia juga seakan mengiakan kerajaan pimpinan Warisan akan terus memerintah untuk tempoh 100 tahun lagi serta polisi PSS seperti bersifat hukum Tuhan yang tidak boleh diubah jika ia benar-benar mendatangkan mudarat untuk tempoh singkat. Mereka lupa asas Qadha dan Qadar adalah ditentukan Tuhan serta sifat berserah kepada Allah setelah berusaha merupakan nilai dalam agama.

Terdapat banyak faktor lain yang lebih mencabar pada masa depan khususnya penggunaan revolusi industri 4.0   yang memerlukan daya kreativiti dan kemahiran serta pengetahuan yang tinggi. Anak-anak kita hari sebenarnya pintar dan berpendidikan tinggi, isunya adalah kekurangan tempat bekerja.

Bagi menambah ketakutan masyarakat, PTI juga dikatakan akan bersaing tempat duduk dan kedudukan dalam semua aspek seperti pekerjaan, pendidikan, rawatan hospital, dan sebagainya yang merupakan realiti dunia masa depan.

Mereka sengaja tidak mahu melihat impak positif dasar PSS misalnya mampu membesarkan kek ekonomi Sabah, menghapuskan ketirisan disebabkan aktiviti sindiket-sindiket dan aktiviti peras ugut berkaitan PTI selain memudahkan kawalan kehadiran PTI baharu. Penyelesaian isu PTI dijangka bakal menyumbang kepada peningkatan produktiviti ekonomi negeri Sabah,  mengatasi gejala sosial dan keselamatan serta kebersihan alam sekitar. Hasilnya penyelesaian dasar PSS ini akan dinikmati oleh masyarakat tempatan.

Kejayaan dasar PSS mengatasi isu PTI akan menjadi kejayaan rakyat tempatan Sabah paling besar yang akan mengatasi kejayaan pembangunan fizikal, namun kerjasama semua pihak khususnya masyarakat amat diperlukan bukan dijadikan bahan politik untuk tujuan memancing undi khususnya dalam PRK Kimanis. — (Penulis merupakan Pengerusi Penasihat Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah).

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.