Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Korea Utara lancar lagi peluru berpandu balastik

0

TOKYO: Korea Selatan dan Jepun mendakwa Korea Utara melancarkan beberapa lagi peluru berpandu balistik jarak dekat yang jatuh di laut di luar pantai timurnya hari ini.

Ia dilakukan beberapa hari selepas Korea Utara mendedahkan imej mesin yang menghasilkan bahan bakar untuk bom nuklear di negara itu dan berikrar untuk meningkatkan kelengkapan senjata nuklearnya.

Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan, dalam kenyataan mendakwa peluru berpandu itu dilancarkan dari Kaechon, di utara ibu kota Pyongyang, kira-kira jam 6:50 pagi (2150 GMT) ke arah timur laut.

“Tentera kami sentiasa bersiap siaga dan akan memperkukuh pengawasan dan berwaspada bagi persediaan pelancaran tambahan serta berkongsi maklumat dengan Amerika Syarikat (AS) selain Jepun,” katanya.

Kira-kira 30 minit selepas notis peluru berpandu pertama dikeluarkan, pengawal pantai Jepun mendakwa Korea Utara melancarkan satu lagi peluru berpandu balistik.

Komando Indo-Pasifik AS, dalam ciapan di platform X mendakwa pihaknya menyedari pelancaran peluru berpandu berkenaan dan sedang berunding rapat dengan Korea Selatan serta Jepun.

Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat pada Khamis lalu, pelancaran pertama dalam tempoh lebih dua bulan dan kemudian menyifatkannya sebagai ujian sistem pelancar roket pelbagai baharu 600mm.

JCS Korea Selatan pula mendakwa pelancaran peluru berpandu itu mungkin bertujuan untuk menguji senjata bagi dieksport ke Russia, susulan kerjasama ketenteraan yang semakin intensif antara kedua-dua negara berkenaan.

AS, Korea Selatan dan Ukraine, bersama negara lain, menuduh Korea Utara membekalkan roket dan peluru berpandu kepada Russia untuk digunakan dalam perang di Ukraine, sebagai balasan untuk bantuan ekonomi serta ketenteraan.

Menurut Kementerian Luar Russia, Menteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui, berada di Russia pada minggu ini bagi menghadiri persidangan dan bertemu rakan sejawatnya, Sergei Lavrov, bagi membincangkan cara mempertingkat hubungan dua hala. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.