Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Microsoft bongkar propaganda palsu Russia kaitkan Kamala Harris

0

WASHINGTON: Microsoft membongkar tindakan kumpulan propaganda Russia cuba menjejaskan peluang calon Demokrat, Kamala Harris, dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November ini.

Syarikat dalam talian itu mendedahkan kisah palsu yang tersebar di media sosial yang mendakwa Harris menyebabkan seorang gadis berusia 13 tahun lumpuh selepas kes langgar lari di San Francisco pada 2011.

Penyelidik mendapati kumpulan itu telah mencipta sebuah video, membayar seorang pelakon untuk muncul sebagai mangsa dan menyebarkan dakwaan itu melalui laman sesawang palsu untuk saluran berita San Francisco, ‘KBSF-TV’, yang tidak wujud.

Kumpulan Russia mendalangi perbuatan itu, yang disebut Microsoft sebagai Storm-1516, digambarkan sebagai agensi penyebar berita palsu yang bersekutu dengan kerajaan Russia.

Penemuan itu menandakan peningkatan usaha pengaruh asing dan campur tangan Russia menjelang pilihan raya presiden pada 5 November, kata Microsoft.

Jurucakap kedutaan Russia di Washington bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

“Operasi pengaruh Russia pada mulanya berdepan kesukaran untuk mengubah agenda operasi yang disasarkan kepada kempen parti Demokrat selepas Presiden AS, Joe Biden, menarik diri daripada pemilihan pada 2024,” kata blog yang diterbitkan Microsoft, semalam.

Ogos lalu, Storm-1516, mula menghasilkan kandungan yang membabitkan Harris dan Gabenor Tim Walz, juga calon Naib Presiden AS yang berganding dengan Harris, dalam teori konspirasi palsu lagi luar biasa, kata Microsoft.

Menurut pakar, Storm-1516 dikenali kerana menghasilkan video yang mengelirukan dengan menampilkan pelakon atau pelakon suara yang menyamar sebagai pemberi maklumat atau wartawan yang menyebarkan maklumat palsu serta skandal.

Berdasarkan rekod pendaftaran dalam talian, sebuah laman sesawang untuk KBSF-TV diwujudkan sejurus sebelum menerbitkan artikel pertamanya mengenai kes langgar lari didakwa membabitkan Harris itu.

Dakwaan itu disebarkan di platform media sosial, termasuk X dengan menggunakan tanda pagar #HitAndRunKamala.

Video berkenaan turut dikongsi pada 3 September lalu di platform oleh Aussie Cossack, yang menggambarkan dirinya sebagai agen asing berdaftar untuk Sputnik News dengan mesej ‘sebarkan ini secara meluas, rakyat MAGA’.

Dianggarkan, video itu telah ditonton lebih daripada 2.7 juta kali dan banyak entiti dalam ekosistem dalam talian pro-Russia meyebar luas video dan dakwaan itu.

“Storm-1516 bergantung kepada beberapa personaliti media sosial seperti Aussie Cossack, untuk memperkuat penyebaran videonya,” kata Pusat Analisis Ancaman Microsoft.

Cossack bagaimanapun tidak memberikan maklum balas segera berhubung dakwaan itu.

Terdahulu, Jabatan Keadilan AS memfailkan tuduhan pengubahan wang haram terhadap dua pekerja rangkaian media negara Russia, RT, atas apa yang dikatakan pegawai sebagai satu skim untuk mengupah syarikat AS bagi menghasilkan kandungan dalam talian yang dapat mempengaruhi pem,ilihan Presiden AS.

Pegawai AS mendakwa tujuan Russia itu adalah untuk memburukkan lagi perpecahan politik di AS dan melemahkan sokongan awam terhadap bantuan ketenteraan AS kepada Ukraine.

Sementara itu, Harris menyatakan bahawa jika terpilih, beliau akan terus menyokong Ukraine dalam pertahanan mereka terhadap pencerobohan Russia. – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.