Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP Pacu Pertumbuhan PKS, Sasar Kukuh Ekosistem Keusahawanan Negara

0

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata setakat Jun 2025, kementerian telah menyalurkan RM3.59 bilion pembiayaan kepada 204,429 usahawan dan koperasi, membangunkan 28,687 entiti baharu serta membimbing 540 PKS menembusi pasaran global.

Beliau turut memaklumkan sektor PMKS mencatat pertumbuhan 5.8% pada 2024, menyumbang RM652.4 bilion kepada ekonomi negara. Eksport meningkat 31.3% (14.3% daripada jumlah eksport negara), manakala guna tenaga melonjak kepada 8.1 juta pekerja atau 48.7% tenaga kerja Malaysia.

Antara program utama yang menyumbang kepada pencapaian ini termasuk Program Madani Rakyat (PMR) di Tawau, mesyuarat ASEAN Coordinating Committee for MSMEs ke-19 di Langkawi, PERNAS International Franchise Festival (PIFF), ASEAN Franchise Convention (AFC) dan sambutan Hari Koperasi Negara 2025.

“Memasuki suku terakhir 2025, fokus utama adalah meningkatkan keberkesanan penyampaian, mengukuhkan inisiatif bersasar, dan mempermudah urusan pelanggan tanpa mengabaikan tadbir urus yang baik. Kita perlu memudah, bukan menyusahkan,” tegas Ewon.

Hadir sama pada perhimpunan bulanan KUSKOP ialah Timbalan Menteri, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud; serta kepimpinan kanan kementerian, ketua agensi dan wakil KUSKOP seluruh negara.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.