
SHAH ALAM (Malaysia), 2 Oktober 2025 — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menegaskan komitmen memperkukuh daya saing usahawan Bumiputera melalui strategi bersepadu yang menyasarkan peningkatan sumbangan mereka terhadap ekonomi domestik serta kedudukan lebih kukuh di pasaran antarabangsa.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda nasional yang digariskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) serta selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang menumpukan kepada penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“PuTERA35 melalui Pemacu 2: Peningkatan Daya Saing dan Penskalaan menetapkan sasaran meningkatkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada KDNK sebanyak 15% menjelang 2035. Strategi ini bukan sahaja memperkukuh daya saing, tetapi juga memastikan usahawan Bumiputera menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya.
Ucapan itu disampaikan sempena lawatan kerja beliau ke Glide Technology Sdn. Bhd., sebuah syarikat Bumiputera berprestasi tinggi yang menerima penarafan 4 bintang SME Competitiveness Rating for Enhancement (SCORE) daripada SME Corp. Malaysia.
Menurut Ewon, pencapaian ini membuktikan syarikat Bumiputera bukan sahaja menepati piawaian daya saing antarabangsa, malah berpotensi menembusi pasaran global sebagai PMKS berimpak tinggi.
Antara fokus utama KUSKOP ialah Program Pembangunan Vendor (PPV), platform strategik untuk melahirkan syarikat Bumiputera inovatif, kompetitif dan berskala global.
Setakat ini, KUSKOP telah bekerjasama dengan 38 syarikat Anchor melibatkan pemain industri utama negara, bagi membuka akses vendor kepada bimbingan, latihan, khidmat teknikal serta pembangunan penyelidikan.
Dua inisiatif utama di bawah PPV ialah Geran Inovasi dan Pengkomersialan Vendor (GIPV) yang berfungsi sebagai pemangkin inovasi serta pengkomersialan produk berdaya saing tinggi, dan Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV) yang memperkukuh latihan, akreditasi, pensijilan serta akses pasaran; kedua-duanya menjadi instrumen penting dalam meningkatkan produktiviti vendor Bumiputera, mengurangkan kebergantungan import, serta memperluas sumbangan ekonomi mereka ke pasaran serantau dan global.
Glide Technology merupakan penerima geran PPKV pada Disember 2024 yang digunakan untuk memperoleh peralatan ujian berteknologi tinggi bagi menyokong pengeluaran produk pelincir dan petroleum.
Dalam lawatan itu juga, Ewon merasmikan makmal baharu Glide Technology yang dilengkapi peralatan moden hasil sokongan PPKV, sekali gus memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memenuhi keperluan sektor tenaga Malaysia dan Asia Tenggara.
Beliau turut melancarkan MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil, iaitu minyak penebat elektrik pertama berasaskan 100% minyak sawit tempatan hasil kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Kerjasama ini membuktikan potensi inovasi berasaskan sumber tempatan yang bukan sahaja menambah nilai industri sawit negara, tetapi juga membuka pasaran baharu dalam sektor tenaga. Saya berharap model perkongsian pintar seperti ini dapat diperluaskan,” jelasnya.
Ewon menegaskan KUSKOP akan terus memacu pembinaan ekosistem keusahawanan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Saya yakin Glide Technology boleh menjadi model syarikat Bumiputera berimpak tinggi yang mencipta peluang pekerjaan, mengangkat reputasi negara di pentas global, dan suatu hari nanti disenaraikan di Bursa Malaysia. Inilah visi kita dalam melahirkan bangsa usahawan dan Keluarga Malaysia yang makmur,” katanya.
![]()