SEORANG lelaki di Pakistan dilaporkan membunuh isteri dan dua anak perempuannya demi menjaga maruah keluarga selepas mereka disyaki mencuri bayi.
Lapor The Tribune, lelaki berusia 50 tahun itu menembak mati ahli keluarganya semalam.
Menurut pihak berkuasa, kejadian itu berlaku di kampung Razaar Tehsil di daerah Swabi, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Jan Bahadur mengesyaki isteri dan anaknya mencuri bayi perempuan yang baru dilahirkan dari Pusat Perubatan Mardan.
Jan bersama seorang lagi lelaki, Tayyab Jan didakwa menembak mati tiga wanita yang mana identiti mereka tidak didedahkan.
Dilaporkan, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala suspek berjaya melarikan diri.
Laporan maklumat pertama (FIR) difailkan di Balai Polis Kalu Khan terhadap kedua-dua tertuduh itu.
Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes ini.
Mereka juga menyerbu beberapa tempat persembunyian yang disyaki di kawasan tersebut.
Kes pembunuhan demikian dalam keluarga adalah perkara biasa di kebanyakan kawasan suku di Pakistan.
Lebih 1,000 wanita dan kira-kira 600 hingga 800 lelaki dibunuh setiap tahun di Pakistan atas alasan menjaga maruah keluarga. – AGENSI
516 total views, 1 views today