KOTA KINABALU, 24 Julai 2025 – Malaysia terus menampilkan komitmen teguh terhadap kesejahteraan rakyat melalui pengumuman inisiatif berskala nasional yang menyasarkan kelompok rentan dan sektor strategik tempatan, termasuk komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) – antara tulang belakang ekonomi domestik negara.
Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 Julai lalu, telah disambut baik oleh pelbagai sektor, dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyifatkan ia sebagai langkah progresif yang mengimbangi keperluan rakyat serta kelestarian fiskal negara.
“Langkah ini bukan sekadar bantuan tunai atau pengurangan kos sara hidup. Ia adalah pendekatan strategik untuk merancakkan semula aktiviti ekonomi tempatan, memacu kuasa beli isi rumah dan pada masa sama mengurangkan tekanan terhadap usahawan kecil yang masih bergelut dalam pasca-pandemik,” kata beliau dalam satu kenyataan rasmi.
PMKS menyumbang hampir 38% kepada KDNK Malaysia dan mewakili lebih 97% entiti perniagaan di seluruh negara. Dalam konteks ini, Ewon menegaskan bahawa setiap insentif yang diumumkan – sama ada bantuan tunai RM100 kepada semua warganegara dewasa, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, ataupun peningkatan peruntukan Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta – akan memberi kesan langsung kepada daya tahan dan daya saing PMKS.
“Ramai usahawan kecil kita menjalankan perniagaan dari kawasan luar bandar ke bandar. Penurunan kos petrol bukan sahaja meringankan beban logistik, malah mampu memulihkan margin keuntungan yang terjejas sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” ujarnya.
Menyentuh inisiatif tambahan cuti umum sempena Hari Malaysia pada 15 September, Ewon menggalakkan rakyat untuk menyokong pelancongan domestik, khususnya destinasi desa dan ekopelancongan yang diusahakan oleh koperasi serta usahawan tempatan.
“Kami di KUSKOP akan terus memacu program seperti Hari Koperasi Negara, Karnival Usahawan Desa dan Showcase 1 Daerah 1 Industri bagi mempromosikan produk tempatan terus kepada pengguna. Jejak Koperasi juga diperluaskan sebagai platform pelancongan koperasi di seluruh negara,” jelas beliau.
Menurut Ewon, inisiatif Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia mencerminkan kestabilan politik dan kecekapan tadbir urus Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim, sekaligus meletakkan Malaysia pada trajektori pertumbuhan inklusif dan mapan.
“Nilai RM100 mungkin kecil dari sudut angka, namun besar ertinya bagi seorang usahawan kecil yang bergelut membayar sewa, membeli stok atau menanggung kos pengangkutan. Ini bukti bahawa kepimpinan negara memahami denyut nadi rakyat,” katanya.
Beliau turut membandingkan situasi Malaysia dengan beberapa negara lain yang masih berdepan konflik, ketidaktentuan politik dan kelaparan.
“Malaysia kekal sebagai negara aman dengan dasar bantuan berstruktur. Ini hasil kestabilan dan kebijakan kepimpinan nasional – sesuatu yang sangat dihargai oleh rakyat dan komuniti PMKS,” tambahnya.
![]()