BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, hari ini mendakwa bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, memulakan serangan di sempadan dengan meletakkan periuk api dalam kawasan Thailand.
Beliau, menerusi hantaran di platform media sosial X, turut menuduh Hun Sen melancarkan serangan artileri ke kawasan Thailand .
Thaksin menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan mencemar semangat kejiranan yang baik.
Menurutnya, dua anggota tentera Thailand mengalami kecederaan parah sehingga terpaksa dipotong kaki, manakala beberapa orang awam turut cedera dalam serangan terbabit.
“Thailand telah menunjukkan kesabaran dan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa. Tetapi mulai sekarang, tentera Thai dibenarkan membalas serangan mengikut pelan operasi.
“Kementerian Luar boleh melaksanakan pelbagai langkah yang dirasakan perlu secara sah,” katanya.
Thaksin turut mendedahkan bahawa beberapa negara telah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik tersebut, namun beliau meminta sedikit masa.
“Kita perlu beri ruang kepada tentera Thai untuk menjalankan tugas dan mengajar Hun Sen satu pengajaran atas tindakan licik ini,” tulis Thaksin.
Orang ramai menderma darah di pusat derma darah susulan serangan artileri antara Thailand dan Kemboja yang mengorbankan orang awam. – Foto REUTERS
Beliau juga sambil merujuk bekas pemimpin Kemboja itu sebagai ‘sama seperti Phraya Lawek’, satu sindiran bersejarah terhadap watak musuh Siam lama.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, Thaksin dilihat sebagai tokoh berpengaruh di sebalik parti pemerintah Thailand, Pheu Thai.
Setakat ini, kerajaan Thailand belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan Thaksin mahupun perkembangan terkini di sempadan. – AGENSI
![]()