KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menetapkan sasaran untuk meningkatkan peratusan perusahaan bersaiz sederhana dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada 5 peratus menjelang 2030, berbanding hanya 1.8 peratus pada 2023, sebagai langkah memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata agenda penskalaan itu akan digerakkan melalui galakan kepada PMKS untuk terlibat dalam aktiviti bernilai tambah tinggi, mengadaptasi model perniagaan disruptif, menyertai rantaian nilai global serta menembusi pasaran modal melalui penyenaraian.
“KUSKOP turut memberi keutamaan kepada pembangunan PMKS halal melalui Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH) yang merangkumi pembangunan kapasiti industri, inovasi teknologi halal serta pengantarabangsaan produk halal,” katanya semasa ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat.
Bagi memperkukuh penyertaan usahawan Bumiputera, katanya, pelbagai inisiatif di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sedang dilaksanakan, termasuk BEEP, GEB, BEP, BRAVE, Program Jaguh Serantau dan Pembangunan Vendor.
Dalam sektor koperasi, kerajaan menyalurkan dana melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), antaranya RM100 juta bagi Tabung Modal Pusingan, RM4.75 juta untuk PPMK 2.0, RM2 juta SCOPE dan RM3 juta SE.RASI. Sehingga Ogos 2025, sebanyak 520 entiti perniagaan termasuk PMKS dan koperasi telah menerima pengiktirafan sebagai perusahaan sosial di bawah pelan hala tuju SEMy2030.
Ewon berkata, dasar baharu RMK-13 juga akan memberi keutamaan kepada produk dan perkhidmatan “Made by Malaysia” dalam perolehan kerajaan, menjamin penglibatan PMKS dalam projek pelaburan asing serta memperkasakan usahawan mikro termasuk di kawasan sempadan.
Dari segi digitalisasi, inisiatif yang diperkenalkan termasuk pelancaran Studio TikTok Shop oleh TEKUN Nasional, SME Technology Transformation Fund (STTF) oleh SME Bank, Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) serta platform e-dagang nasional MyMall.
Akses kepada pembiayaan turut dipermudah oleh agensi seperti TEKUN, AIM, Bank Rakyat, SME Bank, Pernas dan SME Corp., dengan proses permohonan lebih ringkas serta kelulusan lebih pantas.
Selaras pelaksanaan e-Invois, KUSKOP melalui INSKEN, SME Corp. dan TEKUN bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi membantu PMKS meningkatkan kecekapan kewangan serta pematuhan percukaian.
![]()