SANDAKAN (Sabah, Malaysia), 2 September 2025 – Ketua Penerangan UPKO Malaysia, Dr. Peter Naintin, memberi amaran keras bahawa gejala buli di sekolah kini menjadi ancaman serius terhadap masa depan generasi muda dan tidak boleh dipandang ringan.
“Buli bukan sekadar salah laku disiplin, tetapi satu perbuatan kejam yang mampu meragut keyakinan diri, menghancurkan prestasi akademik, malah dalam kes tertentu boleh mengancam nyawa. Inilah sebabnya usaha membanteras buli mesti digerakkan secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak – ibu bapa, guru, Kementerian Pendidikan, masyarakat awam dan juga agensi keselamatan,” tegas beliau.
Dr. Peter turut merujuk kepada kes Zara Qarina sebagai contoh tragis bahawa perbuatan buli bukan sahaja meninggalkan trauma, malah mampu meragut nyawa dan mengegerkan komuniti dunia. Justeru, beliau menegaskan bahawa setiap insiden buli mesti ditangani segera dengan prosedur pelaporan yang jelas, tindakan disiplin tegas, serta kerjasama penuh semua pihak.
Dalam program Kesedaran Anti Buli yang berlangsung di Astaka SM Sung Siew, Sandakan, para peserta diberi penekanan kepada lima aspek utama: definisi buli, bentuk-bentuk utama buli, langkah pencegahan, prosedur pelaporan dan tindakan sekolah, serta peruntukan undang-undang berkaitan. Majlis itu turut diserikan dengan gimik perasmian menandatangani banner “Hentikan Buli”, tayangan video kesedaran, bacaan Ikrar Anti Buli oleh pelajar, serta penyerahan poster anti buli kepada semua ketua pelajar Tingkatan Menengah Rendah. Acara simbolik tersebut membawa mesej jelas bahawa seluruh warga sekolah bersatu menolak budaya buli.
Dr. Peter menegaskan mesej utama yang perlu dihayati oleh setiap murid, guru dan ibu bapa ialah bahawa: “Buli adalah jenayah.” Katanya, sikap sambil lewa terhadap isu ini hanya akan membuka ruang kepada lebih ramai murid menjadi mangsa trauma, kegagalan akademik, malah kehancuran masa depan.
Beliau menambah, program kesedaran seperti ini wajar diperluaskan ke seluruh sekolah di Sabah agar setiap institusi pendidikan benar-benar menjadi ruang selamat untuk anak-anak menimba ilmu. Sekolah bebas buli, tegasnya, adalah asas kepada pembinaan modal insan yang sihat, yakin diri dan berdaya saing.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan budaya buli. Masa depan murid adalah masa depan negara. Jika kita gagal melindungi anak-anak hari ini, maka kita sebenarnya sedang merisikokan masa depan negara esok,” ujarnya penuh ketegasan
![]()