
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) – Masa depan Sabah hanya dapat dijamin melalui perpaduan mantap antara pemimpin dan rakyat negeri ini, tegas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah agar terus mengekalkan semangat kebersamaan dan kerjasama demi memastikan negeri ini kekal stabil, maju serta mampu melonjak lebih jauh pada masa hadapan.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengingatkan bahawa walaupun Sabah telah mencapai pelbagai kemajuan sepanjang 62 tahun lalu, perjalanan pembangunan negeri ini masih panjang dan menuntut komitmen bersama semua pihak.
“Enam puluh dua tahun lalu, kemerdekaan Sabah diisytiharkan, membawa kepada penubuhan kerajaan negeri yang berdaulat, sebelum bersama membentuk Persekutuan Malaysia.
“Sepanjang tempoh ini, kita menyaksikan pelbagai pencapaian, namun perjalanan ke hadapan masih jauh. Ia menuntut kesatuan, kebersamaan dan perpaduan seluruh pemimpin serta rakyat Sabah.
“Semoga 62 tahun seterusnya dan tahun-tahun mendatang menjadi lebih progresif untuk Sabah. Selamat menyambut Hari Sabah kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Hari Sabah 2025 di Padang Merdeka, di sini, pada Ahad.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
![]()