Oleh DG HENRY

PASUKAN MU menjuarai Karnival Bola Sepak B10 Empat Penjuru TABS SAFA Bandaraya di padang TABS SUKMA di sini pada Ahad.
Pasukan itu mengutip tujuh mata dengan mencatat dua kemenangan dan seri sekali. Manakala pasukan MC menduduki naib juara selepas memenangi dua perlawanan dan kalah sekali mengumpul enam mata.

Pasukan QPR mememangi tempat ketiga dengan mendapat lima mata melalui satu kemenangan dan seri dua kali.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), David Wisom melakukan sepak mula karnival itu dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Karnival itu sebagai lanjutan karnival bola sepak B12 tahun yang diadakan sebelum ini.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Setiausaha Eksekutif SAFA atas kesudiannya untuk melancarkan karnival tersebut.
Menurut beliau, hadiah yang ditawarkan juga merupakan sumbangan David sebagai tanda sokongannya terhadap penganjuran karnival untuk pelatih kanan-kanak itu.
Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata karnival untuk kategori umur yang lain akan diadakan dalam masa terdekat.
“Ia merupakan aktiviti berterusan TABS bagi memberi peluang pelatih-pelatih program pembangunan bola sepaknya mendapat pendedahan menerusi kejohanan yang dianjurkan secara dalaman,” katanya.
Tambahnya, TABS SAFA Bandaraya akan terus bekerjasama dengan SAFA pusat khususnya dalam menjayakan program pembangunan bola sepak di negeri ini.
Ketika ini, TABS telah dianugerahkan sijil perak di bawah program suparimau oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas kejayaannya untuk mengendalikan program pembangunan bola sepak akar umbi.
Turut hadir ialah Setiausaha SAFA Bandaraya, JUraidah Abdul Rahim, naib pengerusi TABS, S.A Ramle dan ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad.
838 total views, 1 views today