HO CHI MINH: Sekilogram durian Musang King yang ditanam di Vietnam kini berharga VND1.5 hingga 1.8 juta (AS$64-$76 atau RM282.7-RM335.70), 20 peratus lebih tinggi daripada harga import dalam varieti yang sama.
Lapor e.vnexpress, harga tersebut dilaporkan meningkat 10 peratus sejak setahun lalu.
Musang King berasal dari Malaysia ini dianggap sebagai durian terbaik di dunia dan kini ditanam oleh petani Vietnam di Tanah Tinggi Tengah dan Delta Mekong.
Buah-buahan itu kerap dijual di pasaran tempatan dan pembeli perlu menunggu antara dua minggu hingga sebulan untuk menerima stok mereka.
Pakar durian di Ho Chi Minh City, Oanh berkata, isi durian Musang King wangi, lembut dan gemuk.
“Saya perlu membayar deposit sebulan lebih awal untuk menerima buah itu,” katanya.
Sebuah kedai buah-buahan di Hanoi juga melaporkan bahawa ia baru sahaja menjual 10 Musang Kings yang belum dibuang kulit dengan harga VND700,000 sekilogram (RM131.8).
Pengurus kedai itu memberitahu, memandangkan ia adalah buah yang gugur dan dihantar melalui udara, kualitinya adalah tinggi.
“Tidak kira berapa banyak yang kita ada, pelanggan membeli semuanya,” katanya.
Menjelaskan harga tinggi durian Musang King yang ditanam di Vietnam, pemborong, Dang Manh Khuong berkata, durian itu kini sudah tiada musim, jadi bekalan yang rendah menyebabkan permintaan meningkat.
“Saya hanya dapat mencari beberapa dozen (Musang Kings) untuk dibeli sehari,” katanya.