LONDON: Demi mengumpul dana untuk rumah kebajikan, seorang budak lelaki dari Britain sanggup tidur di dalam khemah di halaman rumahnya selama hampir tiga tahun.
Namun usahanya berbaloi apabila dia berjaya mengumpul bantuan berjumlah A$860,000 (RM3.7 juta) sekali gus memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi jumlah wang terkumpul paling banyak oleh aktiviti perkhemahan individu.
Max Woosey berusia 10 tahun ketika dia memulakan projek Boy in the Tent di halaman rumah keluarganya di Devon, England pada 28 Mac 2020, dan dia menghabiskan malam terakhirnya di luar rumah Selasa lalu, tepat tiga tahun kemudian.
Woosey, 13, memulakan projek perkhemahan itu bagi sebagai mengumpul dana untuk Rumah Kebajikan North Devon yang menjaga jirannya, Rick Abbot sebelum lelaki itu meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2020.
“Sebelum jiran saya meninggal dunia akibat kanser, dia memberi saya sebuah khemah dan memberitahu saya untuk memulakan pengembaraan baharu,” kata Woosey kepada Rekod Dunia Guinness.
Aktiviti unik yang dijalankan Woosey mendapat perhatian ramai warganet di media sosial dan kemasyhuran yang diterimanya menyebabkan dia dijemput mendirikan khemah untuk bermalam di beberapa lokasi popular termasuk Zoo London, taman di No. 10 Downing Street dan Padang Rugbi Twickenham.
“Saya telah melalui tiga tahun terbaik dalam hidup saya. Saya telah bertemu dengan beberapa orang yang hebat dan mempunyai pengalaman yang cemerlang. Saya tidak fikir saya akan mengubah apa-apa.
“Saya hanya berhasrat untuk melakukan pengembaraan dan mengumpulkan 100 Pound (RM545). Tak sangka usaha ini mendapat perhatian ramai tetapi saya harap ia membuatkan orang ramai melihat bahawa kanak-kanak mampu melakukan lebih daripada yang mereka sangkakan,” katanya.