Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Nahas pesawat ringan di Filipina: Empat terkorban

0

MANILA: Pasukan penyelamat Filipina mengesahkan empat orang maut selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas berhampiran gunung berapi aktif pada hujung minggu lalu.

Menurut pihak berkuasa, mangsa termasuk dua warga Australia menaiki pesawat Cessna 340 yang dilaporkan hilang pada pagi Sabtu lalu setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol di Tengah Albay, berhampiran Gunung berapi Mayon.

Datuk Bandar Camalig, Carlos Baldo berkata, pasukan mencari dan menyelamat menemukan bangkai pesawat dan mengesahkan tiada mangsa terselamat daripada nahas itu.

“Kami menjumpai lokasi kejadian dan mendapati tiada tanda-tanda mangsa terselamat,” katanya.

Jelas Baldo, seramai 179 anggota penyelamat terlibat dalam operasi membawa keluar mayat menuruni curam gunung berapi Mayon.

Katanya, pasukan penyelamat berharap agar dapat tiba dengan selamat di pangkalan.

Dalam pada itu, Jabatan Penerbangan Awam Filipina memaklumkan bangkai pesawat ditemukan di sebelah barat gunung berapi pada ketinggian kira-kira 1,070 meter hingga 1,200 meter dari paras laut.

Sementara itu, Syarikat Pembangunan Tenaga Manila mengesahkan pesawat yang terhempas itu milik firmanya.

Jelasnya, warga Australia yang terkorban merupakan perunding teknikal syarikat berkenaan.

Presiden syarikat, Richard Tantoco menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.