Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Penduduk terkejut kehadiran ular sawa 8 meter

0

JAKARTA: Sekumpulan penduduk di Muna Barat, Sulawesi Tenggara dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa gergasi sepanjang 8 meter berhampiran kawasan perkampungan mereka.

Bagaimanapun, ular sawa itu sudah mati akibat ditetak seorang penduduk kampung ketika reptilia itu cuba membaham seekor babi hutan.

Lapor Detik.com, ular sawa sebesar saiz batang kelapa itu ditemukan oleh penduduk bernama La Bansi di kawasan hutan di Kampung La Haji, daerah Napano Kusambi, Muna Barat.

Ketika kejadian, La Bansi yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya, terdengar bunyi kuat dengusan babi hutan.

La Bansi kemudian mencari dalam semak dan menemukan babi hutan itu dibelit ular sawa gergasi itu.

Seorang penduduk bernama Hariman berkata, La Bansi pada mulanya tidak berani membunuh ular sawa itu.

“Namun, selepas seketika dia segera menetak bahagian kepala reptilia tersebut.

“Ular itu ditetak di bahagian kepala sehingga mati supaya tidak mencederakan orang lain,” katanya.

Sementara itu, penduduk bernama Soleh berkata, jiran-jiran La Bansi terkejut melihat ular sawa gergasi yang dibawa olehnya di sebelah rumahnya.

Katanya, ular sawa tersebut dibawa menggunakan motosikal dengan cara reptilia itu diikat dengan tali dan ditarik.

“Ia diikat dengan tali baharu yang ditarik menggunakan motosikal dan kemudian diletakkan di sebelah rumahnya.

“Namun, ketika mahu menjual ular sawa itu di daerah berhampiran, reptilia itu terpaksa diangkut menggunakan lori pikap,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.