Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Palestin umum skuad bola sepak kudung

0

SKUAD boleh sepak berkaki kudung Palestin diumumkan buat pertama kali di bandar Gaza, Jumaat lalu, bagi memperingati hari antarabangsa bagi individu kelainan upaya.

Persatuan Bola Sepak Kelainan Upaya Palestin berkata, skuad kebangsaan itu disokong oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) yang terdiri daripada 20 pemuda yang kehilangan beberapa anggota badan semasa kemalangan atau peperangan dengan Israel.

Lapor al-Jazeera, pemain terpaksa menggunakan tongkat dan kaki palsu semasa bermain bola dan berlatih di stadium bandar Gaza.

Pasukan itu meletakkan sasaran untuk menyertai Kejohanan Piala Dunia Bola Sepak Kudung yang dijadualkan berlangsung di Turki, Mac tahun depan.

Seorang pemain, Ahmed Alkhodari, 23, berkata, dia kehilangan kaki semasa peristiwa serangan Zionis Israel, tiga tahun lalu.

Ahmed berkata, dia mahu menyertai perlawanan di luar Palestin yang disekat Israel selama hampir 15 tahun.

Dia yakin pasukannya mampu meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.

Bagi Ibrahim Madi, 30, dia sangat teruja menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak itu selepas menempuh peristiwa hitam apabila peluru tentera Israel mengenai kakinya semasa demonstrasi di kawasan sempadan Gaza, 2018.

“Penyertaan ini sangat bermakna bagi saya kerana menjadi pampasan terhadap semua derita mental dan fizikal yang dirasai selepas saya kehilangan kaki.

“Saya terpaksa menghabiskan masa selama 11 hari menanggung sakit di hospital. Doktor kemudian memutuskan untuk memotong kaki saya,” luahnya.

 

 

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.