VATICAN: Paus Francis, 88, disahkan meninggal dunia akibat strok dan kegagalan jantung yang tidak dapat dipulihkan, menurut doktor Vatican, Andrea Arcangeli.
Perkara itu dinyatakan dalam sijil kematian yang dikeluarkan pada Isnin, yang mencatatkan mendiang mengalami koma sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pagi Isnin.
Menurut sijil berkenaan, Ketua Gereja Katolik itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.35 pagi Isnin (waktu Rom) di kediamannya di Santa Marta, Vatican, akibat ‘strok otak, koma dan kegagalan peredaran darah yang tidak boleh dipulihkan’.
Sehari sebelum pemergiannya, beliau sempat membuat penampilan umum terakhirnya dengan menyapa ribuan penganut Katolik sempena sambutan Easter di Dataran St Peter, di sini.
Sepanjang 12 tahun kepemimpinannya sebagai Ketua Gereja Katolik, mendiang pernah mengalami pelbagai masalah kesihatan.
Beberapa minggu sebelum kematiannya, Paus Francis mengalami komplikasi serius akibat radang paru-paru berganda serta dirawat selama 38 hari di Hospital Universiti Gemelli, Rom, pada Februari dan Mac lalu.
Sijil kematian berkenaan turut mendedahkan Pope Francis juga menghidap tekanan darah tinggi, radang paru-paru berganda serta diabetes jenis 2 – beberapa penyakit yang tidak pernah diumumkan sebelum ini.
Sementara itu, Vatican turut mendedahkan, wasiat rohani beliau – satu pernyataan yang menyatakan hasrat untuk disemadikan di Basilika St Mary Major di Rom dan bukannya di Basilika St Peter seperti lazimnya Pope terdahulu.
Menerusi teks bertarikh 29 Jun 2022 itu, Pope Francis menulis: “Tatkala saya merasakan senja kehidupan dunia semakin hampir dan dengan pengharapan teguh terhadap kehidupan abadi, saya ingin menetapkan hanya hasrat terakhir saya berkenaan tempat persemadian saya”.
Mendiang turut menyatakan keinginan untuk dikebumikan ‘di dalam tanah, tanpa hiasan istimewa’ namun dengan ukiran nama kepausannya dalam bahasa Latin: Franciscus.
“Semoga Tuhan membalas jasa semua yang telah menyayangi dan terus mendoakan saya,” tambah Paus Francis dalam wasiat itu.
Pada Isnin malam, Vatican mengadakan upacara doa rosari di Dataran St Peter – kali pertama penghormatan awam diadakan sejak kematian Paus Francis.
Doa tersebut dipimpin oleh Kardinal Mauro Gambetti, pemimpin kanan Basilika St Peter.
Pembacaan doa pertama disampaikan oleh Sister Raffaella Petrini, Presiden Negara Kota Vatican, yang juga antara wanita paling berpengaruh dalam institusi tersebut – satu pelantikan yang melambangkan komitmen Paus Francis dalam memperkasa peranan wanita dalam pembuatan keputusan gereja.
Jasad Paus Francis akan disemadikan dalam pakaian rasmi dan ditempatkan di Basilika St Peter untuk penghormatan umum sebelum dikebumikan.
Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan doa harian dan Misa Requiem akan diadakan di gereja-gereja Katolik di seluruh dunia serta di Basilika St Peter.
Dengan pemergian Pope Francis, Vatican kini memasuki tempoh peralihan dikenali sebagai ‘sede vacante’ atau ‘interregnum’ – ketika kuasa ditadbir oleh Kolej Kardinal dan tiada keputusan besar akan dibuat sehingga pemilihan Paus baharu.
Dalam tempoh 15 hingga 20 hari akan datang, Kardinal yang berusia bawah 80 tahun akan bersidang di Sistine Chapel di Vatican yang akan ditutup kepada umum, bagi memilih pemimpin baharu menerusi undian rahsia. – AGENSI