Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Penduduk dunia cecah lapan bilion November ini

0

NEW YORK: Populasi dunia diramal mencecah lapan bilion orang 15 November ini, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di sebalik jumlah besar itu, populasi dunia berkembang pada kadar paling perlahan sejak 1950, setelah jatuh di bawah satu peratus pada 2020.

Memetik laporan Metro, berdasarkan unjuran baharu PBB, populasi dunia boleh meningkat kepada sekitar 8.5 bilion pada 2030 dan 9.7 bilion pada 2050.

Ia dijangka meningkat sekitar 10.4 bilion orang pada 2080-an dan stabil pada kadar itu hingga 2100.

India dijangka mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia menjelang 2023.

Menurut laporan itu, kadar kesuburan menurun dengan ketara di kebanyakan negara sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Ketika ini, sebanyak dua pertiga daripada populasi dunia tinggal di negara yang menyaksikan kadar kesuburan seumur hidup berada di bawah paras penggantian 2.1 kelahiran anak bagi setiap wanita.

Antara tahun 2022 dan 2050, populasi 61 negara diunjurkan berkurangan sebanyak satu peratus atau lebih disebabkan kadar kesuburan rendah yang berterusan dan peningkatan dalam migrasi.

Lebih separuh daripada ramalan kenaikan penduduk dunia sehingga 2050 tertumpu di lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Mesir, Ethiopia, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania.

Negara-negara sub-Sahara Afrika dijangka menyumbang lebih separuh daripada peningkatan dijangka menjelang 2050.

 

 296 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.